BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Soalan faraid mengikut mazhab Syafie: Seorang perempuan meninggal dunia dan meninggalkan waris berikut sahaja: suami, ibu, datuk (bapa kepada bapa si mati), dan seorang saudara perempuan seibu sebapa. Tiada anak, tiada bapa. Berapakah bahagian setiap waris? Adakah kes ini diselesaikan mengikut kaedah al-Akdariyyah, dan jika ya, mohon tunjukkan pengiraannya secara terperinci. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, ya, kes yang di mana sekiranya seorang isteri itu telah meninggal dunia, dan meninggalkan waris-warisnya yang terdiri daripada seorang suami, ibu, datuk dari sebelah bapa (bapa arwah yang telah meninggal dahulu, tetapi ada bapanya (datuk) yang masih hidup) dan juga seorang saudara perempuan seibu sebapa, maka kes faraid ini diselesaikan mengikut kaedah al-Akdariyyah.

Kaedah al-Akdariyyah ini adalah satu kaedah pengecualian khas dalam pengiraan faraid dan pembahagian harta pusaka bila mana terdapat pertembungan waris tertentu dalam sesuatu kematian. Dalam kes ini, pertembungan warisnya adalah antara datuk dan juga saudara seibu sebapa perempuan arwah isteri tersebut.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan, mengikut hukum asal dalam mengira pembahagian faraid, waris-waris akan mendapat bahagian waris sebanyak:

  1. Suami - 1/2 bahagian;
  2. Ibu - 1/3 bahagian;
  3. Datuk - 1/6 bahagian; dan
  4. 1 Saudara perempuan seibu sebapa - 1/2 bahagian.

Jika mengikut pengiraan faraid seperti biasa, bahagian datuk menjadi lebih rendah daripada sepatutnya, atau tidak selari dengan nisbah (2:1) iaitu lelaki mendapat dua bahagian berbanding perempuan. Namun, menurut mazhab Shafi'i dan Zaid bin Thabit RA bahawa sekiranya arwah si mati meninggalkan datuk dan saudara perempuan seibu sebapa, maka, datuk dianggap sebagai saudara lelaki dengan cara datuk akan mengasabahkan saudara perempuan seibu sebapa dengan mewarisi secara Asabah Bi al-Ghairi iaitu dengan kadar pembahagian (2:1). Ini bermakna bahagian datuk akan menjadi satu kali ganda berbanding bahagian saudara perempuan seibu sebapa. Berikut merupakan pengiraan asal:

Waris Asal masalah     6                9         
Suami 1/2 3 3/9
Ibu 1/3 2 2/9
Datuk 1/6 1 1/9
Saudara perempuan seibu sebapa 1/2 3 3/9

Cara pengiraan faraid mengikut kaedah al-Akdariyyah adalah sebagaimana berikut:

  1. Mencampurkan bahagian datuk dan bahagian saudara perempuan seibu sebapa (datuk + saudara perempuan seibu sebapa) (1/9 + 3/9) menjadikan jumlahnya sebanyak 4/9 bahagian; kemudian,
  2. 4/9 bahagian dibahagikan pula kepada 3 kepala/individu/bahagian, iaitu 2 bahagian kepada datuk dan 1 bahagian kepada saudara perempuan seibu sebapa; kemudian,
  3. Setelah bahagian datuk dan saudara perempuan seibu sebapa dicampurkan, maka perlu dan dibahagi semula mengikut kaedah Asobah Bi al-Ghairi (datuk 2 : Saudara perempuan seibu sebapa 1); kemudian,
  4. Apabila telah disamakan pembawah, maka hasilnya datuk akan mendapat 8/27 bahagian dan saudara perempuan seibu sebapa mendapat separuh daripada bahagian datuk iaitu 4/27 bahagian, sebagaimana pengiraan berikut: 
Waris Asal masalah            6        9              9              27 
Suami 1/2 3 3 3 9
Ibu 1/3 2 2 2 6
Datuk 1/6 1 1 4 8
Saudara perempuan seibu sebapa 1/2 3 3   4

Oleh yang demikian, sekiranya tuan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai penerangan kaedah al-Akdariyyah dalam ilmu faraid, disarankan agar tuan mendapatkan khidmat nasihat di bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 14

message user image