Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya berkaitan zakat KWSP. Merujuk pada laman web KWSP untuk pengeluaran bagi umur 55/60 terdapat pilihan dimana pencarum yang telah berumur 55 tahun boleh memilih beberapa kaedah pengeluaran. Sekiranya pencarum memilih kaedah pengeluaran Bayaran Dividen Tahunan Secara Automatik, bagaimana kaedah bayaran zakat KWSP? Adakah zakat 2.5% dari jumlah dividen yang diterima dalam akaun pencarum sahaja atau zakat 2.5% termasuk jumlah keseluruhan simpanan ditambah dengan dividen yang diperolehi?
Terima kasih.
Jawapan
Zakat KWSP ialah zakat yang dikenakan ke atas pengeluaran simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila memenuhi syarat tertentu seperti cukup nisab. Caruman wang simpanan pekerja (KWSP) diwajibkan zakat apabila dikeluarkan daripada simpanan tersebut. Ia berkonsepkan zakat simpanan atau mata wang. Jumhur Ulama’ sependapat mengatakan bahawa wajib zakat pada mata wang apabila telah memenuhi syarat-syaratnya.
Secara asasnya, zakat pengeluaran KWSP hanya 2.5% daripada jumlah pengeluaran, namun terdapat dua keadaan utama yang perlu diberikan perhatian iaitu:
1) Sebelum mencapai umur 55 (Pemilikan belum sempurna)
Kadar zakat bagi pengeluaran KWSP ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah yang dikeluarkan tanpa mengambil kira sama ada jumlah tersebut mencapai nisab atau tidak. Jika pengeluaran KWSP itu kurang daripada nisab, maka ia perlu digabungkan bersama pendapatan lain untuk pengiraan zakat.
2) Setelah mencapai umur 55 (Pemilikan sempurna)
Kadar zakat yang ditetapkan adalah 2.5% daripada jumlah pengeluaran (pokok + dividen + bonus) seperti kaedah zakat simpanan.
Merujuk kepada soalan, apabila pencarum memilih kaedah pengeluaran Bayaran Dividen Tahunan Secara Automatik selepas umur 55 tahun, zakat sebanyak 2.5% adalah wajib dikira ke atas jumlah keseluruhan simpanan (pokok + dividen) yang berada di dalam akaun KWSP, dan bukan atas jumlah dividen yang diterima sahaja. Hal ini kerana, sebaik sahaja pencarum sudah mencapai usia 55 tahun, status harta di dalam KWSP telah bertukar menjadi Milik Sempurna (Al-Milk al-Tam). Pencarum sudah mempunyai hak sepenuhnya untuk mengeluarkan kesemua wang tersebut pada bila-bila masa. Oleh itu, kaedah pengiraan zakatnya berubah daripada Zakat Pengeluaran kepada Zakat Wang Simpanan.
Untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan dengan lebih lanjut tentang zakat KWSP, tuan/puan boleh terus berhubung dengan Lembaga Zakat Selangor.