Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.
Saya ingin mendapatkan penjelasan berkenaan nazar suami saya.
Suami saya pernah bernazar bahawa sekiranya hajatnya dikabulkan, beliau akan menyembelih seekor lembu dalam tempoh 3 tahun. Alhamdulillah, hajat tersebut telah dimakbulkan.
Pada asalnya, suami berniat untuk melaksanakan nazar tersebut pada waktu Hari Raya Aidiladha, termasuk dalam tempoh 3 tahun yang dinyatakan. Namun, berlaku salah faham mengenai cara pelaksanaan nazar. Suami telah dimaklumkan bahawa lembu nazar tidak boleh digabungkan dengan ibadah korban biasa, menyebabkan beliau tidak melaksanakan nazar tersebut pada waktu itu. Ketika bertanya kepada ustaz di surau, suami juga tidak menyatakan bahawa beliau berniat untuk melaksanakan nazar tersebut dalam tempoh Hari Raya Aidiladha.
Kini tempoh 3 tahun tersebut telah berlalu. Suami masih berniat untuk menunaikan nazar tersebut, tetapi keadaan kewangan pada masa ini tidak mengizinkan untuk menyediakan seekor lembu.
Persoalan saya:
Mohon pihak tuan jelaskan berdasarkan lafaz dan keadaan tersebut supaya kami dapat menunaikan nazar dengan cara yang betul.
Terima kasih.
والله أعلم.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan-persoalan puan tersebut, Allah SWT berfirman dalam surah al-Hajj ayat 29:
Maksudnya: Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka
1. Nazar tersebut tidak gugur semata-mata kerana tempoh tiga tahun telah berlalu. Suami puan masih mempunyai kewajipan untuk menunaikan nazar tersebut iaitu menyembelih seekor lembu dengan kadar segera jika berkemampuan. al-Nawawi menulis dalam al-Majmu’;
Maksudnya: Apabila hari-hari penyembelihan korban telah berlalu, sedangkan korban yang dinazarkan itu belum dilaksanakan, maka dia tetap wajib menyembelihnya sebagai qada. Inilah mazhab kami (mazhab Shafi’i).
2. Kekangan kewangan adalah sebuah keuzuran dan suami puan tidak berdosa jika tidak mampu untuk menunaikannya dalam waktu tersebut, in sha Allah.
3. Tidak ada kifarah walaupun tempoh tiga tahun yang dinazarkan telah berlalu.
4. Apabila sudah mampu, hendaklah berusaha menunaikannya tanpa sengaja melengah-lengahkan. Namun, jika kemampuan hanya dijangka ada pada Aidiladha 1448/2027, boleh merancang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya pada waktu tersebut atau sebelumnya.
Sekian, terima kasih.