BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya tentang hukum bagi majikan yang membayar gaji pekerja tanpa menetapkan waktu atau tarikh pembayaran yang tetap.

Saya bekerja secara sambilan di sebuah syarikat media. Kami dibayar mengikut bulan, tetapi tarikh pembayaran gaji sangat tidak menentu. Ada kalanya gaji diterima awal, contohnya pada 20 haribulan, tetapi ada juga kalanya ia tersangat lewat sehingga gaji bulan tersebut hanya diterima pada bulan berikutnya.

Memang benar, dalam kontrak kami tidak dinyatakan tarikh tertentu untuk pembayaran gaji. Namun, keadaan ini menimbulkan masalah kepada pekerja, khususnya keluarga yang bergantung kepada pendapatan ini untuk menampung keperluan harian. Sebagai pekerja sambilan/kontrak, kami juga tidak mempunyai banyak kuasa untuk meminta perubahan terhadap perkara ini dalam kontrak atau meminta supaya pembayaran gaji dipercepatkan.

Apa yang lebih mengecewakan, gaji kami pernah tertunda kerana ketua bahagian kewangan pergi mengerjakan umrah. Saya ingin bertanya, adakah tindakan majikan yang membayar gaji secara tidak menentu dan menangguhkan pembayaran atas sebab seperti ini dibenarkan dalam Islam, atau adakah ia bercanggah dengan hukum Islam dan hak pekerja?

Sekiranya memang tidak dinyatakan tarikh pembayaran dalam kontrak, adakah itu bermakna majikan bebas membayar gaji pada bila-bila masa, walaupun kelewatan tersebut menyusahkan pekerja?

Mohon pencerahan daripada pihak ustaz/mufti mengenai perkara ini. Maaf jika soalan saya panjang. Terima kasih atas masa dan penjelasan yang diberikan.

Wassalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, tempoh pembayaran gaji mesti diketahui dan dipersetujui melalui kontrak pekerjaan atau amalan yang jelas di tempat kerja tersebut, walaupun tidak ditetapkan tarikh khusus. Namun, jika majikan tidak menetapkan sebarang tempoh pembayaran sebagai contoh awal bulan, tengah bulan atau hujung bulan sehingga pekerja tidak mengetahui bila gajinya akan diterima, keadaan tersebut tidak menepati prinsip kejelasan dalam kontrak pekerjaan dan boleh membawa kepada pertikaian serta kezaliman terhadap pekerja khususnya jika majikan bebas membayar pada bila-bila masa. 

Majikan seharusnya menetapkan tempoh pembayaran gaji yang jelas dan menunaikan pada waktunya. Jika gaji telah sampai tempoh pembayarannya, haram bagi majikan sengaja melambatkannya tanpa alasan yang munasabah sedangkan majikan mampu membayarnya.  Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda: 

‌أعطوا ‌الأجير أجره قبل أن يجف عرقه

Maksudnya: Berikan upah kepada pekerja sebelum kering keringatnya. (Riwayat Ibn Majah) 

Imam al-Munawi dalam kitab Faidh al-Qadir mensyarahkan hadis ini bahawa upah (gaji) merupakan bayaran bagi tenaga dan jerih payah pekerja, bukan bayaran bagi suatu barang dagangan. Maka, haram mengangguhkan atau melengah-lengahkan pembayarannya sedangkan majikan mempunyai kemampuan untuk membayarnya. 

Oleh itu, setiap pekerja, hendaklah memastikan akad atau kontrak perjanjian pekerjaan dibuat dengan jelas, khususnya berkaitan kadar gaji, tempoh bayaran dan kaedah pembayaran agar hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak dapat dipelihara. Hal ini bukan sahaja bertujuan menjaga kebajikan dan hak pekerja, bahkan menjamin kepentingan majikan serta mewujudkan hubungan pekerjaan yang adil, teratur dan saling reda antara kedua-dua pihak. 

  والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 85

message user image