Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya mempunyai pertanyaan berkaitan hukum seorang Muslim menyertai kegiatan kesukarelawanan yang berbentuk kerja amal komuniti (saringan kesihatan) yang berlangsung di dalam rumah ibadat agama lain seperti di kuil atau gereja.
Sekiranya saya telah bertugas untuk program saringan kesihatan di tempat tersebut, adakah saya telah melakukan perbuatan yang dilarang dalam syarak?
Mohon penjelasan dari pihak tuan, jazakallahu khairan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, diharuskan bagi orang Islam untuk lalu di kawasan atau laluan yang terdapat tempat ibadat agama lain. Walaupun begitu, umat Islam dilarang masuk atau berada di tempat ibadat agama lain kerana terdapat alatan sembahan atau patung-patung berhala. Dijelaskan dalam Mughni al-Muhtaj:
Maksudnya: Tidak diharuskan bagi seorang Muslim memasuki gereja-gereja zimmi kecuali dengan izin mereka kerana mereka tidak suka orang lain masuk ke dalamnya. Maka berdasarkan itu, diharuskan masuk dengan izin, namun ia difahami dalam keadaan tiada gambar (patung/lukisan) di dalamnya. Jika terdapat gambar sedangkan kebiasaannya ia tidak terlepas daripadanya maka hukumnya haram.
Namun untuk kerja-kerja sukarelawan, dinasihati supaya memilih tempat atau kegiatan selain dari tempat yang boleh menimbulkan fitnah.
Sekian, terima kasih.