Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
saya merupakan seorang pekerja tetap di sebuah syarikat. Di dalam kontrak kerja saya bersama syarikat itu, ada dinyatakan bahawa saya tidak dibenarkan untuk menjalankan kerja sampingan/part time/freelance yang berkaitan dengan skop kerja kerana "conflict of interest". Namun begitu, saya ada menjalankan kerja freelance yang berkaitan dengan skop kerja saya, iaitu sebagai konsultan. Kerja freelance ini saya jalankan selepas waktu bekerja formal, menggunakan laptop/resources peribadi. Jadi, bolehkah saya tahu apakah perkara ini dibenarkan dalam Islam dan apakah hukumnya. Adakah hasil yang saya peroleh melalui kerja freelance ini halal untuk digunakan? Sekiranya tidak, bagaimanakah caranya untuk saya bersihkan/lupuskan wang tersebut?
Jawapan
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Kathir bin 'Amr bin 'Awf Al-Muzani daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Dan kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram. (Riwayat al-Tarmizi)
Sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak majikan, maka ia adalah kesalahan dan berdosa sekiranya tuan melanggar apa yang telah dipersetujui dan melanggarnya merupakan pelanggaran amanah serta ia ada kaitan dengan "conflict of interest" yang perlu dilihat pemberat kepada larangan pihak majikan tersebut.
Dan Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat al-Bukhari)
Pelanggaran terhadap ketetapan kontrak pekerjaan tersebut adalah suatu perbuatan yang berdosa, manakala pendapatan yang diperoleh daripada pekerjaan sampingan berkenaan juga perlu dielakkan kerana terdapat unsur syubhah, khususnya apabila pekerjaan tersebut mempunyai kaitan atau pertindihan dengan skop tugas hakiki yang diamanahkan oleh majikan. Sehubungan itu, adalah lebih baik perkara ini dibincangkan semula dengan pihak majikan secara baik bagi mendapatkan kebenaran dan memastikan pelaksanaan pekerjaan sampingan tersebut tidak menjejaskan hak, kepentingan dan amanah terhadap majikan.
Sekiranya pendapatan daripada pekerjaan sampingan tersebut telah diterima, hendaklah dipisahkan daripada pendapatan yang lain dan disalurkan kepada Majlis Agama Islam Negeri sebagai pihak yang berautoriti dalam menguruskan harta atau wang yang tidak patuh syariah, mengikut ketetapan dan tatacara yang ditetapkan.
Sekian, terima kasih