Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum makan makanan yang halal tetapi tidak sihat?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan pihak puan, berpandukan ayat 168 Surah Al-Baqarah iaitu,
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Perkataan thayyib digandingkan dengan perkataan halalan dalam bab makanan bukan semata-mata makanan itu perlu halal malah makanan tersebut perlu dalam keadaan baik iaitu makanan yang sihat dan bermanfaat. Makanan halal tetap wajib dipastikan thayyib (baik dan bermanfaat). Jika makanan itu halal tetapi jelas membahayakan kesihatan apabila dimakan berlebihan atau tanpa kawalan, hukumnya boleh jatuh kepada makruh atau haram kerana Islam melarang perbuatan yang memudaratkan diri sendiri.
Sekian, terima kasih.