BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya...

Apakah hukum bagi lelaki atau perempuan memuat naik gambar selfie dirinya ke media sosial yang bersifat terbuka kepada umum, dengan keadaan aurat terjaga dan gambar tersebut tidak bertujuan menggoda, menarik perhatian seksual atau melakukan maksiat, tetapi sekadar berkongsi gambar diri?

Saya bertanya kerana media sosial mempunyai sifat terbuka dan seseorang yang memuat naik selfie memang secara sedar membenarkan wajahnya dilihat oleh orang yang bukan mahram. Dalam masa yang sama, konsep menjaga pandangan dan batas pergaulan lelaki dan perempuan sangat ditekankan dalam Islam.

Adakah keadaan tersebut menjadikan seseorang perlu mempunyai keperluan tertentu untuk memuat naik gambar dirinya, seperti tujuan pekerjaan, pendidikan, perniagaan atau penyampaian ilmu? Atau adakah selfie biasa yang sekadar perkongsian diri tetap dihukum harus selagi tiada unsur yang dilarang?

Selain itu, adakah prinsip sadd al-zara’i / menutup jalan kepada fitnah terpakai dalam situasi selfie seperti ini walaupun tidak terdapat unsur seksual pada gambar atau tujuan pemilik akaun?

Adakah hukum ini sama bagi lelaki dan perempuan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum asal mengambil dan memuat naik gambar swafoto di media sosial adalah harus bagi lelaki dan perempuan selagimana aurat terpelihara serta tidak mengandungi unsur menggoda, tabarruj, maksiat atau perkara lain yang bercanggah dengan syarak. 

Walau bagaimanapun, setiap muslim hendaklah menjaga kehormatan diri dan mengelakkan perkongsian gambar secara berlebihan khususnya wanita tanpa tujuan yang bermanfaat atau keperluan yang munasabah. Sikap lebih berhati-hati dan memelihara sifat malu adalah lebih utama. Mengurangkan atau mengelakkan hantaran gambar selfie yang tiada keperluan nyata dinilai sebagai langkah yang paling selamat bagi mengelakkan diri daripada menjadi punca fitnah pandangan orang lain.

Prinsip sadd al-zara’i iaitu menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada haram adalah terpakai apabila sesuatu gambar atau cara perkongsiannya benar-benar berpotensi menimbulkan fitnah khususnya muslimah . Oleh itu, penilaian hukum adalah bergantung pada kandungan gambar, tujuan dan kesannya.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 75

message user image