BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum... Saya nak bertanya mengenai status membeli minyak wangi secara online tanpa mengetahui baunya... 

Adakah ianya termasuk dalam jual beli benda yang tidak diketahui (غير معلوم)...??

Mohon penjelasan daripada pihak Mufti... 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam akad jual beli, penjual wajib untuk memberitahu sifat barang jualan dengan jelas, di mana bagi produk minyak wangi, bau-bauan merupakan sifat yang menentukan nilai barangan tersebut. Membeli minyak wangi secara dalam talian (online) tanpa menghidu baunya terlebih dahulu boleh jatuh dalam kategori gharar (ketidakpastian) atau jual beli barangan yang tidak diketahui (غير معلوم) sekiranya maklumat produk adalah tidak jelas. Namun, jika penjual telah menyenaraikan ciri-ciri dan sifat bauan tersebut dengan terperinci tanpa unsur tipu, dan pihak pembeli reda dengan pembelian itu, maka ia adalah dibolehkan dan sah di sisi syarak.

Hal ini kerana transaksi tersebut termasuk di dalam konsep Bay’ Mausuf Fi Dzimmah (Jual beli barang yang ditentukan sifat-sifatnya dalam tanggungan). Unsur ketidakpastian yang besar telah dikurangkan melalui penjelasan spesifikasi produk yang jelas seperti jenis bauan, kepekatan dan isipadu minyak wangi tersebut. Di samping itu, syarak tetap menjaga kebajikan pembeli melalui jaminan hak pilihan. Pihak pembeli mempunyai hak untuk Khiyar al-'Aib atau Khiyar al-Ru'yah iaitu dengan membuat tuntutan pulangan (refund atau ganti rugi) jika barang yang dibelinya itu ternyata memiliki kekurangan, kerosakan, atau tidak menepati deskripsi yang telah dijanjikan oleh penjual. 

Kesimpulannya, selagi mana wujud kejelasan sifat produk, ketiadaan unsur penipuan dan berasaskan persetujuan serta keredaan bersama, maka jual beli minyak wangi secara online ini adalah harus.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 43

message user image