BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Tuan Mufti.

Saya ingin mendapatkan penjelasan hukum berkaitan menerima tempahan makanan halal bagi satu program sekolah.

Sebuah SJK(C) di Kajang, Selangor akan menganjurkan Pesta Tanglung Amal. Pihak sekolah/PIBG telah membuat tempahan sebanyak 300 unit makanan halal daripada perniagaan Muslim untuk diberikan kepada tetamu/pengunjung yang hadir.

Berdasarkan maklumat yang diberikan, makanan tersebut adalah untuk jamuan tetamu, dan bukan untuk diletakkan di altar, persembahan kepada dewa atau digunakan dalam sebarang ritual keagamaan.

Program tersebut juga mempunyai aktiviti jualan amal dan menggunakan kupon bagi menyokong sekolah dan pendidikan. Bayaran kepada pembekal berkemungkinan dibuat daripada kutipan atau hasil program tersebut.

Mohon penjelasan Tuan Mufti:

Adakah seorang peniaga Muslim dibenarkan menerima tempahan dan membekalkan 300 unit makanan halal untuk majlis Pesta Tanglung Amal tersebut?

Adakah hasil jualan/bayaran yang diterima oleh peniaga Muslim tersebut halal, atau terdapat unsur syubhah kerana bayaran mungkin berasal daripada hasil jualan kupon atau kutipan program Pesta Tanglung Amal?

Sekiranya kupon tersebut digunakan untuk membeli makanan, permainan karnival dan aktiviti sekolah biasa, adakah hasil kutipan kupon tersebut memberi apa-apa kesan kepada hukum wang yang diterima oleh pembekal makanan?

Adakah terdapat perbezaan hukum sekiranya peniaga sekadar membekalkan makanan dan tidak menyertai perarakan tanglung, ritual atau apa-apa aktiviti keagamaan?

Tujuan pertanyaan ini adalah supaya kami dapat memastikan urusan perniagaan dan pendapatan yang diterima benar-benar menepati hukum syarak.

Terima kasih atas penjelasan pihak Tuan Mufti.

والله أعلم


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Allah SWT berfirman Surah al-Baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

Berdasarkan situasi yang dinyatakan, pada asasnya menerima tempahan dan menyediakan makanan halal kepada program tersebut adalah HARUS, dengan syarat makanan itu benar-benar halal dan tidak digunakan untuk dipersembahkan kepada dewa, diletakkan di altar, atau digunakan dalam upacara keagamaan yang lain. Dalam keadaan demikian, isu menyertai perarakan, ritual dan sebagainya adalah sangat bertentang serta bercanggah dengan syariat Islam serta tidak dibolehkan sama sekali.

Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma'idah ayat 2:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.

Berkaitan dengan kaedah pembayaran yang dinyatakan adalah harus kerana diambil daripada kupon yang diberikan kepada pengunjung dengan bayaran tertentu dan seterusnya digunakan untuk membayar caterer makanan halal.

Sekiranya semua elemen dapat dielakkan, maka urusniaga ini adalah harus dan tiada masalah kerana ia juga sebahagian muamalat yang dibenarkan dalam Islam. Sebagaimana Allah SWT berfirman Surah al-Mumtahanah ayat 8:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.
 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 41

message user image