Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Semalam saya ada live yang lalu FYP saya, dia kata kalau nak check kebocoran aura, nak check kenapa jodoh lambat , boleh share live ni atau bagi gft ,
jadi disebabkan rasa ingin thau , saya pun share live tu . Dan selepas itu , dia pun kata tulis sahaja nama di ruangan komen, jadi setelah saya tulis , dia describe saya orangnya macam mana and apa dia cakap itu kena dengan situasi saya , dia cakap saya tak sukar dapat jodoh mungkin kerana ada trauma masa kecil yang tidak dilepaskan (unheal childhood trauma) dan seterusnya dia promote product dia , wangian yang dibaca AYAT QURAN , dan sabun untuk memulihkan aura ,
Jadi soalan saya , 1. bolehkah buat begini , adakah syirik untuk check kebocoran aura?
2. untuk syarikat itu , mereka memang menjual produk sabun dan perfume yang boleh tingkatkan aura dan ada dibaca ayat alquran , jadi adakah ini menyalahi syarak? nama perfume - Jiwa Wangian Klasik
harap dapat dirahsiakan soalan ini , thank you
Jawapan
Soalan 1:
Allah SWT berfiman dalam Surah al-Naml, ayat 65:
Maksudnya: Katakanlah: Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah.
Allah SWT berfiman dalam Surah al-A'raf, ayat 188:
Maksudnya: Katakanlah: Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui perkara ghaib, tentulah aku akan memperbanyakkan perkara yang baik dan aku tidak akan ditimpa sesuatu kemudaratan.
Istilah “kebocoran aura” bukan satu kaedah yang diiktiraf dalam syarak untuk mengetahui punca seseorang lambat mendapat jodoh. Dakwaan membawa kepada mengetahui perkara ghaib yang tidak dapat diketahui melalui kaedah biasa, maka ia termasuk perkara yang perlu dijauhi. JAKIM sendiri mempunyai Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan pada tahun 2008.
Tentang dia kata saudari mempunyai unhealed childhood trauma, itu juga tidak semestinya bukti dia mengetahui perkara ghaib. Ada kemungkinan ia merupakan kenyataan umum yang boleh nampak tepat kepada ramai orang. Tetapi jika dia mendakwa mengetahui keadaan tersembunyi seseorang melalui “aura”, nama atau kaedah mistik, itu yang bermasalah. Sekiranya puan menyakini ramalan yang dinyatakan dan mempercayai kekuasaan selain Allah SWT, maka ia adalah syirik dan berdosa besar.
Sebagamana firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 106:
Maksudnya: Dan janganlah engkau menyembah atau memohon kepada sesuatu yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu...
Soalan 2:
Manakala keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-108 pada tahun 2015 berkaitan penjualan produk yang menggunakan ayat al-Quran/ruqyah. Keputusan tersebut menyatakan bahawa penggunaan ruqyah untuk tujuan komersial tidak dibenarkan untuk pelabelan, pengiklanan atau promosi, kerana dikhuatiri berlaku penyalahgunaan ayat al-Quran, penipuan dan menggugat akidah.
Kesimpulannya, apa yang dilihat di media sosial tidak sentiasanya benar dan kebanyakkan bermotifkan keuntungan. Menunggang agama adalah modal yang paling ampuh mengaburi dan memanipulasikan sesuatu kebenaran.
Sekian, terima kasih