Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Saya ingin mendapatkan pandangan dan penjelasan daripada pihak yang berkelayakan mengenai satu perkara berkaitan perbezaan pendekatan dalam agama.
Saya mempunyai pasangan yang kebelakangan ini berminat untuk mempelajari tentang Salafi. Saya tidak berniat untuk menghalang dia daripada belajar agama dan saya juga tidak mahu membuat penilaian tanpa memahami perkara tersebut dengan betul.
Namun, memandangkan kami sedang memikirkan masa depan bersama dan kemungkinan untuk berkahwin, saya mempunyai beberapa kebimbangan mengenai perbezaan pendekatan tersebut, terutamanya dari segi aqidah, fiqh, amalan harian, dan cara memahami hadis.
Saya juga ingin mengetahui apakah perkara-perkara yang sepatutnya dibincangkan dan dipersetujui oleh pasangan sebelum berkahwin sekiranya mereka mempunyai pendekatan agama yang berbeza, khususnya berkaitan pendidikan agama anak-anak dan kehidupan berkeluarga.
Saya tidak bertujuan untuk mencari pihak yang salah atau benar, tetapi ingin mendapatkan penjelasan yang seimbang daripada seseorang yang mempunyai ilmu dan kelayakan dalam bidang ini. Saya juga berharap sekiranya perkara ini lebih sesuai dibincangkan dengan ustaz/ustazah atau pegawai tertentu, pihak tuan/puan boleh mencadangkan kepada saya siapa yang boleh saya hubungi melalui email.
Saya amat menghargai sekiranya pihak tuan/puan dapat memberikan pandangan atau merujuk saya kepada pihak yang sesuai.
Terima kasih atas masa dan bantuan pihak tuan/puan.
Wassalam.
Jawapan
Fatwa yang telah diwartakan pada 17 Jun 2025 menyatakan:
- Ahli Sunnah Wal Jamaah merujuk kepada orang Islam yang berpegang dengan fahaman dan amalan agama yang benar dan diwarisi daripada Rasulullah SAW dan para sahabat RA melalui para ulama muktabar daripada generasi salaf dan khalaf sehingga ke hari ini.
- Tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berdasarkan perkara berikut:
a) dari sudut akidah dan tauhid, mengikut manhaj Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari, Imam Abu Mansur al-Maturidi, ulama al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah;
b) dari sudut syariah dan fiqah, mengikut mazhab Imam al-Shafi'i atau dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau ijtihad hukum oleh Jawatankuasa Fatwa; dan
c) dari sudut akhlak dan tasawuf, mengikut manhaj Imam Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali atau ulama sufi yang muktabar.
Berkenaan dengan pemahaman salafi, mereka masih dikira sebagai Muslim dan orang yang beriman. Namun, terdapat sebahagian kelompok tertentu daripada mereka yang melampau. Walaupun begitu sekiranya sesuatu pemahaman atau pemikiran masih bertepatan dan seiring dengan manhaj Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi sebagaimana yang telah difatwakan, maka ia juga tergolong sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Bagi menjawab soalan yang diajukan, puan boleh mengajak bakal suami untuk turut mendengar penjelasan dan syarahan ilmu daripada ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah agar terpelihara daripada pemikiran-pemikiran dan pandangan yang sempit. Puan beserta pasangan boleh mencari guru yang dipercayai untuk dijadikan sebagai rujukan.
Jika perlukan penjelasan lanjut, Puan boleh datang secara langsung ke Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk bertemu dengan pegawai-pegawai yang sedia membantu.
Sekian, terima kasih.