BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum,

Saya ingin bertanya kalau ada satu pertandingan itu diadakan dan dikenakan yuran penyertaan, kemudian yuran penyertaan itu dijadikan hadiah adakah ia dikira judi?

 

Seterusnya jika pasukan yang bertanding itu menyertai pertandingan itu secara percuma (ada penaja yang membayarkan yuran) tetapi hadiah masih diambil dari yuran penyertaan,yang membezakan situasi ini dengan situasi diatas hanyalah pihak yang membayar yuran.

Adakah ia dikira judi dan apakah hukum saya menyertainya sama ada saya mengambil hadiah tersebut atau tidak?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'ida ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Dan hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.  (Riwayat al-Bukhari)

sekiranya yuran penyertaan yang dibayar oleh peserta dikumpulkan dan digunakan sebagai hadiah kepada pemenang, maka pertandingan tersebut mengandungi unsur pertaruhan (القمار) yang dilarang dn diharamkan oleh syarak. Hal ini kerana peserta mengeluarkan sejumlah wang untuk menyertai pertandingan, kemudian wang tersebut menjadi sebahagian daripada ganjaran yang hanya diperoleh oleh pihak yang menang, sedangkan peserta yang kalah kehilangan wang penyertaannya.

Dalam situasi yuran pasukan yang bertanding ditanggung oleh penaja, hukumnya tidak berubah sekiranya wang yang dibayar oleh penaja tersebut kemudiannya digunakan sebagai hadiah pertandingan.

Adapun mengambil atau tidak mengambil hadiah tidak mengubah hukum penyertaan, kerana unsur pertaruhan telah wujud pada struktur pertandingan dan sumber hadiah, bukan semata-mata pada tindakan pemenang mengambil hadiah.

Untuk maklumat lanjut Tuan juga boleh merujuk Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah yang dikeluarkan oleh JAKIM pada tahun 2013.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 82

message user image