Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz/Ustazah..saya wanita bertudung..saya telah terlibat dengan program kuruskan badan, body treatment dipusat rawatan. Saya ambik pakej yang paling murah. RM900 untuk 10 sesi rawatan. Sebelum menyertai program, saya tak terfikir langsung berkenaan aurat sebab sama2 wanita. Siap ambil gambar depan belakang & kiri kanan badan, tanpa pakaian (tutup dengan secebis underware pakai buang je). Setelah 5 kali rawatan, barulah Allah datangkan hidayah berkenaan aurat. Bayaran telah pun selesai dibayar penuh. Ada lagi baki 5 kali rawatan. Patutkah saya teruskan sebab taknak membazir wang yang telah dibayar? Niat saya nak nampak cantik untuk suami. Atau saya patut hentikan terus? Anggap saja bayaran lebih itu sebagai bukan rezeki saya? Terima kasih untuk jawapan nanti.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, puan tidak sewajarnya meneruskan rawatan tersebut yang memerlukan puan untuk mendedahkan aurat dengan membuka baju dan hanya memakai seluar dalam bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar. Menurut kaedah Fiqh berikut:
Maksudnya: Perkara yang memberi mudharat itu hendaklah dihilangkan.
Daripada kaedah Fiqh yang dinyatakan di atas, menunjukkan bahawa setiap perbuatan mukalaf yang mendatangkan kepada kemudaratan hendaklah dihilangkan. Berdasarkan situasi puan, rawatan kuruskan badan tidak dikira sebagai perubatan darurat. Prosedur pusat rawatan itu dengan cara mengambil gambar tubuh tanpa pakaian walaupun hanya bertutup seluar dalam pakai buang adalah haram, kerana ianya membawa kemudaratan yang lebih banyak iaitu bukan sahaja mendedahkan aurat berat (Mughallazah), malah berisiko tinggi untuk kebocoran data, penyebaran gambar, atau dilihat oleh orang lain yang tidak sepatutnya. Sedangkan, dalam Islam, menjaga agama dan maruah diri adalah lebih utama berbanding menjaga harta mahupun wang ringgit.
Oleh yang demikian, disarankan kepada pihak puan agar sebaiknya berjumpa kepada pihak pusat rawatan itu untuk meminta membuang gambar tersebut serta tidak membenarkannya dalam simpanan mereka bagi tujuan komersial dan lain-lain.
Sekian, terima kasih.