Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Sejak akhir ini berlaku penularan penyakit jangkitan usus iaitu Rotavirus di kalangan kanak-kanak. Kesannya sangat serius sehingga mengakibatkan seluruh keluarga mengalami dehidrasi yang melampau dan berjangkit seluruh keluarga dan kanak-kanak lain di sekolah dan nursery.
Apakah hukum pengambilan vaksin Rotavirus (Rotarix dan Rotateq) oleh kanak-kanak ini yang mengandungi tripsin atau pembawa porcine (khinzir) sama ada mengalami proses penyucian atau tidak. Adakah keharusan untuk situasi terkini ini?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, Islam mengharuskan berubat dengan benda-benda yang diharamkan sekiranya dalam keadaan dharurat iaitu tiada ubat alternatif yang lain adalah berpandu kepada Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 119 yang bermaksud:
Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.
Jumhur Fuqaha’ dari Mazhab Hanafi, al-Malikiyyah, pandangan sohih dari Mazhab Shafi'i dan Hanabilah berpendapat berubat dengan suatu yang najis seperti arak adalah haram dan tidak harus. Dalam konteks ini Prof. Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli berpandangan bahawa pada asasnya, haram kita berubat benda yang najis atau haram.
Dalam mempertimbangkan hukum keharusan mengambil benda haram dalam situasi dharurat beberapa kaedah fiqhiyyah boleh dijadikan sandaran. Antaranya ialah kaedah “ Dharurat mengharuskan perkara yang dilarang” atau الضرورات تبيح المحضورات. Dalam situasi sesebuah negara yang memerlukan perlindungan atau pelalian daripada ancaman serangan biologi seperti anthrax atau serangan cirit birit di kalangan kanak-kanak, kepentingan suntikan BioThrax™ dan RotaTeq tidak dinafikan sekiranya tiada alternatif lain. Walaupun penggunaan BioThrax™ dan RotaTeq mungkin diharuskan namun pengambilan suatu yang haram semasa dharurat dibatasi dengan kaedah الضرورات تقدر بقدرها (dharurat dinilai sekadar keperluan). Dalam masa yang sama orang Islam wajib berusaha bersungguh-sungguh keluar daripada situasi dharurat. Berdasarkan kaedah ini, menggunakan suatu yang haram dalam situasi bukan dharurat adalah dilarang.
Justeru, sekiranya terdapat altenatif dan cara yang lain bagi mengubati penyakit jangkitan usus iaitu Rotavirus tanpa menggunakan vaksin Rotavirus (Rotarix dan Rotateq) yang terdapat padanya unsur babi maka ia diharamkan. Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vaksin BioThrax dan RotaTeg adalah tidak dibenarkan kerana:
Sekian, terima kasih.