Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan.
Saya Amelinda.
Boleh saya tahu status halal injeksi enoxaparin?
Terima kasih, Tuan/Puan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan tersebut, jika Enoxaparin yang digunakan terbukti bersumberkan daripada khinzir, maka asal penggunaannya adalah tidak dibenarkan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 3:
Maksudnya: Diharamkan kepada kalian bangkai, darah dan babi…
Namun, ianya menjadi harus apabila memenuhi keadaan darurat perubatan khususnya apabila tiada alternatif halal yang sesuai, penggunaannya disahkan oleh doktor bertauliah, dan digunakan sekadar keperluan. Kaedah fiqh berbunyi:
Maksudnya: Keadaan-keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara yang ditegah.
Dalam hal ini, pengecualian yang ditetapkan dalam penggunaan bahan-bahan haram sebagai ubat, hendaklah menepati syarat-syarat seperti berikut:
(a) Tidak terdapat alternatif lain yang halal untuk mengubati penyakit berkaitan.
(b) Alternatif yang halal terlalu mahal dan pesakit tidak berkemampuan.
(c) Penggunaan bahan berkenaan hendaklah di bawah arahan dan nasihat doktor.
(d) Pengambilan ubat daripada bahan yang haram hendaklah sekadar yang diperlukan sahaja. Ini berdasarkan kaedah fiqh:
Maksudnya: Keadaan darurat hendaklah ditentukan menurut kadarnya (keperluannya sahaja).
Sekian, terima kasih.