BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan. Saya ada satu kemusykilan. 

Saya mendapat jemputan untuk menghadiri perkahwinan non-Muslim, dan telah dinyatakan akan ada hidangan makanan yang tidak halal dan juga arak. Tapi untuk tetamu Muslim, mereka akan sediakan makanan yang halal, dan tidak bercampur dengan makanan yang tidak halal. Soalannya, adakah kita sebagai Muslim dibenarkan menghadiri majlis tersebut?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, menghadiri majlis perkahwinan non-Muslim adalah dibenarkan sekiranya tidak melibatkan upacara keagamaan yang bercanggah dengan akidah dan tidak terdapat perkara yang diharamkan.

Namun, dalam situasi yang dinyatakan, sekiranya telah diketahui bahawa arak akan dihidangkan, walaupun makanan halal untuk tetamu Muslim disediakan secara berasingan. Maka, isu utamanya bukan makanan, tetapi kehadiran di dalam majlis yang ada menghidangkan arak.

Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Mai’dah ayat 2: 


وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ


Maksudnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa dan permusuhan.

Antara lain, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda:


مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ


Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk di suatu hidangan yang diedarkan arak padanya. (Riwayat al-Tirmizi)

Sehubungan itu, sekiranya sudah mengetahui bahawa arak akan dihidangkan dan kita tidak mampu mengelakkan diri daripada berada dalam suasana tersebut, maka sebaiknya tidak menghadiri majlis adalah jalan yang diredhai. Jika ingin menjaga hubungan baik, kita masih boleh menyampaikan ucapan tahniah atau memberikan hadiah kepada pasangan pengantin tanpa menghadiri majlis yang mengandungi perkara haram tersebut. Kesimpulannya, makanan halal yang diasingkan itu tidak menjadi masalah, tetapi kehadiran dalam majlis yang arak sedang dihidangkan tetap perlu dielakkan.


والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 44

message user image