BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamu'alaikum. Saya ingin bertanya mengenai pendakap gigi. Apakah hukum seseorang memakai pendakap gigi? Ini kerana gigi saya tidak rata namun tidaklah menjejaskan pertuturan. Malah ia juga tidak terlalu mengurangkan tahap keyakinan diri saya dalam kehidupan seharian. Namun, hati saya teringin untuk meratakan gigi dengan memakai pendakap gigi. Dengan niat ingin mendapatkan keyakinan diri yang lebih baik. Adakah ianya dibolehkan? Dan apakah hukumnya kalau saya berniatkan untuk menjadi lebih cantik? Terima kasih


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, Islam merupakan agama yang menggalakkan keindahan, dalam masa yang sama ia mengajar umatnya untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada diri mereka. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda : “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan perempuan yang minta disambungkan rambut, perempuan yang bertatu dan yang minta ditatu, perempuan yang mengikir gigi dan yang minta dikir giginya, dan perempuan yang mencabut bulu muka dan bulu kening”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini secara umumnya menjadi hujah untuk menyatakan bahawa memakai pendakap gigi adalah sesuatu yang terlarang. Namun, ilmuan Islam telah membahagikan hukum pemakaian pendakap gigi kepada dua hukum iaitu harus dan haram. Jika dirujuk kepada umum hadis, ianya telah sabit haram sekiranya apabila ia dilakukan semata-mata untuk kecantikan dan menjadikan wajah lebih menarik. Namun pemakaian pendakap gigi dihukumkan harus sekiranya ia bertujuan selain daripada di atas. Hukumnya harus apabila ia dilakukan untuk menutup keaiban yang ada pada wajah seseorang. Ia juga dibenarkan untuk dilakukan untuk memperbaiki kedudukan gigi yang berubah selepas berlakunya kemalangan. Walau pemakaian pendakap gigi bergantung kepada tujuan asal si pemakai. Namun, ia bukanlah suatu kebebasan dalam membezakan yang haram mahupun halal. Allah mahukan umatNya sentiasa segak dalam personaliti yang unggul agar tampil membawa imej Islam yang tampan dan bukannya umat Islam tidak mementingkan kecantikan. Allah juga tidak menghukum umat dari terus berada dalam keaiban sepanjang hayat. Namun Allah juga mahukan umat belajar erti menerima sesuatu ketetapan tanpa sebarang unsur pendustaan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 80

message user image