Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, pertanyaan saya adalah seperti dibawah:
Apakah pendapat/hukum orang yang bekerja di bawah syarikat dalam bidang pengurusan makanan dan minuman (F&B) yang mempunyai lebih dari 1 cawangan, tetapi salah satu cawangannya menjual minuman keras, tetapi orang itu tidaklah bekerja di cawangan yang menjual minuman keras tersebut.
Syarikat tersebut adalah syarikat bukan muslim (non-muslim) dan menggunakan bahan-bahan yang halal sahaja untuk penyediaan makanan.
itu sahaja pertanyaan saya. Terima kasih dan assalamualaikum.
Jawapan
Sekiranya syarikat mempunyai pendapatan daripada aktiviti halal dan haram, ia tidak semestinya bermaksud seluruh harta atau semua gaji pekerja menjadi haram secara automatik. Hukum terhadap pekerja lebih bergantung kepada jenis pekerjaan yang dilakukannya dan sumber upah yang diperoleh sebagai balasan kepada pekerjaan tersebut.
Walau bagaimanapun, jika skop tugasnya melibatkan pengurusan keseluruhan syarikat sehingga dia perlu mengurus, merancang, menjual, memasarkan, mengangkut atau membantu operasi penjualan arak, maka hukumnya perlu dinilai semula kerana terdapat unsur membantu dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya. (Riwayat at-Tirmizi)
Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubhah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.(Riwayat al-Bukhari)
Kesimpulannya, kewujudan pendapatan haram dalam sesebuah syarikat tidak secara automatik menjadikan semua gaji pekerjanya haram. Ia bergantung kepada jenis pekerjaan dan keterlibatan pekerja dengan aktiviti haram tersebut.
Jika tugas pekerja tidak melibatkan aktiviti haram secara langsung, maka gajinya tidak dihukum haram semata-mata kerana syarikat mempunyai sumber pendapatan yang bercampur. Namun, jika tugasnya melibatkan secara langsung pengurusan, penjualan, pemasaran, pengangkutan atau operasi aktiviti haram, maka pekerjaan tersebut hendaklah dielakkan kerana termasuk dalam membantu perkara yang diharamkan.
Sekian, terima kasih