BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah, saya ingin bertanya tentang hukum menggunakan Gen AI, atau apa-apa AI. Adakah menggunakan teknologi ni Haram? Sebab ia macam ambil hasil manusia untuk membuat benda baharu. Saya cari di internet, ada yang kata ok ada yang kata tidak.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد:

Merujuk kepada persoalan yang diberikan, hukum penggunaan Generative Artificial Intelligent (Gen AI) atau teknologi kecerdasan buatan AI pada asasnya adalah Harus. Ini kerana ia merupakan suatu teknologi dan alat yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Dari segi perspektif Islam pula, sesuatu teknologi tidak dihukum haram semata-mata kerana ia merupakan teknologi baharu. Sebaliknya, hukum penggunaannya bergantung kepada tujuan, cara penggunaan serta kesan yang terhasil daripadanya.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan melalui Tinta Mufti Bil. 10/2025: Teknologi AI Bakal Menjadi Manusia? menjelaskan bahawa penggunaan AI adalah dibenarkan sekiranya membawa maslahah seperti menjimatkan masa, membantu tugasan, pendidikan dan meningkatkan produktiviti. Namun, penggunaannya perlu dikawal sekiranya membawa kepada mafsadah seperti penipuan, manipulasi data, pencabulan privasi dan pencemaran maruah manusia.

Dalam konteks perkembangan teknologi semasa, syariat Islam secara asasnya meraikan pembangunan material yang bertujuan meraih maslahah kepada manusia. Antaranya termasuklah mengharuskan penciptaan yang baharu harus berdasarkan kaedah fiqh:

الأصل في الاشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus sehingga terdapat dalil yang mengharamkan.

Secara asasnya, manusia dituntut untuk melakukan inovasi dalam kehidupan bagi mencapai maqasid الابتلاء iaitu hikmah di sebalik ujian yang diturunkan oleh Allah SWT agar manusia kemudiannya berusaha untuk melakukan pekerjaan yang terbaik. Namun, sekiranya penggunaan AI digunakan untuk tujuan yang boleh membawa kepada mafsadah dan kemudaratan, maka hukumnya adalah haram.

Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: Setiap perkara bergantung kepada tujuannya.

Kesimpulannya, menggunakan Generative AI atau apa-apa teknologi AI tidak haram pada asalnya. Hukum penggunaannya bergantung kepada tujuan, cara penggunaan dan kesan yang terhasil.

Penggunaan AI adalah harus sekiranya digunakan untuk perkara yang bermanfaat dan tidak bercanggah dengan syarak.Sebaliknya, penggunaan AI boleh menjadi haram sekiranya digunakan untuk melakukan perkara yang haram seperti penipuan, fitnah, pemalsuan, mengaibkan manusia, menghasilkan kandungan lucah, mencuri atau melanggar hak orang lain serta tujuan-tujuan lain yang ditegah oleh syarak. Dengan itu, AI boleh menjadi wasilah yang memberikan manfaat, bukannya sesuatu yang semestinya membawa kepada kemudaratan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 22

message user image