BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

1. apakah hukum menyimpan di public gold dan ASB?

2. hukum berkaitan istihadah. Bolehkah menyimpan wuduk sekiranya waktu zohor didapati lendir warna kuning cair, kemudian waktu asar hingga isyak kering: wuduk maghrib dan isyak menggunakan wuduk yang sama? Atau perlu mengambil wuduk tiap kali masuk waktu?

 

terima kasih. 


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan-persoalan puan tersebut, jawapan-jawapannya adalah seperti berikut:

Operasi Public Gold pada asasnya merupakan transaksi jual beli emas. Oleh itu, penentuan hukum terhadap transaksi tersebut hendaklah dilihat berdasarkan hukum dan syarat-syarat jual beli emas yang ditetapkan oleh Syariah, bukan semata-mata berdasarkan sama ada sesuatu syarikat itu mempunyai pengiktirafan patuh Syariah daripada pihak tertentu.

Dalam hal ini, Parameter Pelaburan Emas yang diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 pada 13 hingga 15 Oktober 2011 boleh dijadikan sebagai salah satu rujukan utama. Parameter tersebut menetapkan bahawa transaksi jual beli emas hendaklah memenuhi rukun dan syarat jual beli yang ditetapkan oleh Syarak.

Antara parameter yang perlu dipenuhi ialah:

  1. Pihak yang berakad hendaklah mempunyai kelayakan untuk melakukan akad, iaitu baligh, berakal dan rasyid serta melakukan akad atas dasar keredaan kedua-dua pihak.

  2. Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh pihak yang berakad ketika transaksi dilakukan.

  3. Emas yang dijual hendaklah wujud, dimiliki sepenuhnya oleh pihak penjual dan boleh diserahkan kepada pembeli.

  4. Emas yang menjadi barang jualan hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak, termasuk jenis, berat, ketulenan dan bentuk emas.

  5. Sighah atau akad jual beli hendaklah menunjukkan persetujuan kedua-dua pihak dan ijab dan qabul hendaklah bertepatan dari sudut barang dan harga.

  6. Oleh kerana emas merupakan item ribawi, transaksi jual beli emas dengan wang hendaklah memenuhi syarat taqabudh, iaitu berlaku penyerahan kedua-dua item pertukaran, iaitu harga dan emas, menurut kaedah penyerahan yang diiktiraf Syarak.

  7. Transaksi jual beli emas hendaklah dilakukan secara lani (spot) dan tidak melibatkan penangguhan yang bercanggah dengan ketetapan Syariah, khususnya penangguhan pembayaran harga atau penyerahan emas.

  8. Transaksi juga hendaklah bebas daripada unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.

Sehubungan itu, bagi menentukan hukum sesuatu transaksi yang ditawarkan oleh Public Gold, perkara yang lebih penting untuk diteliti ialah struktur dan pelaksanaan sebenar akad jual beli emas tersebut, termasuk mekanisme pembayaran, pemilikan emas, penyerahan emas, masa berlakunya akad serta kaedah taqabudh yang digunakan.

Oleh yang demikian, sesuatu transaksi emas tidak boleh dihukum patuh atau tidak patuh Syariah hanya berdasarkan nama syarikat atau dakwaan pemasaran, sebaliknya hendaklah dinilai berdasarkan akad dan mekanisme transaksi yang sebenar serta pematuhannya terhadap parameter jual beli emas yang ditetapkan oleh Syarak. Untuk bacaan lanjut sila klik pautan berikut: Parameter Pelaburan Emas JAKIM 

 

Adapun Amanah Saham Bumiputera yang merupakan instrumen pelaburan yang dikeluarkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus sepertimana yang difatwakan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-3/2017 yang bersidang pada 27 April 2017 bersamaan 30 Rajab 1438H memutuskan bahawa:

   a.  Hukum pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus kerana peratusan pelaburan saham syarikat patuh syarak telah melepasi 66%  mengikut piawaian Suruhanjaya Sekuriti. Pengharusan ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah iaitu: 


   الحكم يدور مع علته وجودا وعدما

   Maksudnya: Hukum berubah menurut perubahan ‘illah (sebab);

   b. PNB hendaklah meneruskan usaha-usaha penambahbaikan bagi memastikan pelaburan tersebut menepati syarak sepenuhnya; dan

   c. Keharusan hukum pelaburan ini akan dikaji semula selepas 3 tahun dan sekurang-kurangnya peratusan pelaburan patuh syarak melebihi 75%.

Oleh hal demikian, menyimpan dalam ASB adalah harus dan lebih digalakkan berbanding Public Gold.

 

2. Perempuan yang sedang istihadhah perlu mengambil wuduk setiap kali masuk waktu solat fardhu dan tidak boleh mengumpul satu wudhuk bagi dua solat fardhu. Al-Mawardi menulis dalam al-Hawi al-Kabir:

أن عليها أن تتوضأ لصلاة كل فريضة، ولا يجوز أن تجمع بالوضوء الواحد بين فرضين

Maksudnya: Perempuan yang mengalami istihadhah perlu mengambil wudhuk setiap kali solat fardhu, dan tidak boleh baginya menggunakan wudhuk yang sama bagi dua solat fardhu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 16

message user image