Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya seorang pelajar universiti yang mengambil jurusan accounting. Saya mempunyai minat yang mendalam untuk mendalami ilmu agama namun beberapa persoalan masih berlegar dalam fikiran saya.
1. Pada zaman ini, adakah lebih baik untuk menjadi seorang professional yang cintakan agama atau menjadi seorang alim, memandangkan bilangan ulama sekarang ini sudah ramai dan memandangkan saya sudah berada di atas jalan professional.
2. Rezeki seseorang telah tetap. Maka adakah rezeki jika saya menjadi seorang professional sama dengan rezeki jika saya menjadi seorang alim?
Terima kasih.
Jawapan
Menjawab soalan yang diajukan:
1. Menjadi seorang profesional tidak menghalang seseorang untuk menjadi orang yang alim dalam agama. Apa yang utama dalam mencari ilmu adalah ikhlas kerana Allah SWT bukan semata-mata kerana pekerjaan atau mendapat keuntungan duniawi. Menuntut ilmu agama bukan bertujuan untuk mendapat gelaran sebagai orang alim. Sebaliknya dengan ilmu agama menjadikan kita orang yang lebih baik. Yang pasti apabila Allah SWT hendak memberikan kebaikan kepada seseorang Allah SWT beri kepadanya kefahaman tentang agama.
Hadis daripada Muawiyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
Maksudnya: "Sesiapa yang Allah ingin berikan kepadanya kebaikan, maka Dia (Allah)berikan kepada kefahaman tentang agama" (Riwayat Al-Bukhari)
2. Sama ada rezeki seorang profesional itu sama atau tidak dengan orang alim, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Pemahaman tentang rezeki adalah sangat luas dan ia tidak terhad kepada harta benda. Isteri yang solehah, anak-anak yang baik, kesihatan, dapat beribadah kepada Allah juga merupakan rezeki serta anugerah yang besar daripada Alah SWT kepada hanba-Nya. Buatlah pilihan berdasarkan kepada keimanan dan keikhlasan kepada Allah SWT.
Sekian, terima kasih.