BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Soalan 1

Saya ada ajukan cerai kepada suami dengan lafaz 'kalau tak dapat juga duit tu abang ceraikan saya!'

Suami menjawab iya kerana ralit dan tidak fokus.  Dia tidak mendengar permintaan cerai itu jadi menjawab iya sekadar memberi respon pada perbualan.  

Adakah jatuh talak?

Sebelum itu saya mengadu akan sikap suami yang tidak memberi nafkah sepanjang perkahwinan.  Suami juga sering mendakwa duit projek dia akan dapat tapi tidak pernah terjadi.  Suami ada pujuk dan kemudian termenung sebentar menjadikan dia hilang fokus ketika itu.

Soalan 2.

Adakah jatuh talak dengan sekadar berkata iya tanpa niat talak atau taklik.  Suami tidak tujukan 'iya' itu kepada talak sebaliknya 'iya' (dia akan berubah)

Soalan 3.

Perkataan 'kalau' yang digunakan isteri boleh jadi taklik ke?  Ini kerana isteri hanya ugut dan tidak minta persetujuan suami untuk bersetuju dengan apa-apa syarat pun.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan soalan yang diajukan:

1. Ucapan isteri kepada suami:  'kalau tak dapat juga duit tu abang ceraikan saya!' merupakan permintaan atau keinginan isteri kepada suami yang sekiranya duit itu tidak diperolehi, maka suami hendaklah menceraikannya. Ini bermakna sekiranya duit itu tidak diperolehi dan suami berhasrat untuk memenuhi permintaan isteri, maka suami hendaklah melafazkan ucapan cerai kepada isteri. Seandainya suami tidak ingin memenuhi permintaan isteri, maka penceraian tidak berlaku.

2. Ucapan isteri tidak dianggap sebagai lafaz taklik talak. Ia adalah suatu permintaan penceraian kepada suami jika duit itu tidak diperolehi. Walaupun suami setuju dengan permintaan tersebut dengan menjawab "iya", talak tidak berlaku secara serta-merta atau autmatik dengan sebab duit itu tidak diperolehi. Seandainya duit itu tidak diperolehi, dan suami bersedia untuk memenuhi permintaan isteri, maka suami perlu melafazkan ucapan talak.  Jika tidak, maka talak tidak berlaku.

3. Ucapan yang isteri lafazkan itu tidak dianggap sebagai lafaz taklik talak.

Untuk mendapatkan kepastian lanjut sila berhubung dengan Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 24

message user image