Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum lafaz taklik dan status perkahwinan saya.
Saya sebagai isteri pernah berkata kepada suami, “Kalau awak tak bagi duit saya minggu ni, awak ceraikan saya.”
Suami saya hanya menjawab, “Ok.” Suami tidak menyebut apa-apa lafaz cerai atau taklik yang lain.
Saya ingin tahu, adakah ayat saya itu dikira sebagai lafaz taklik? Adakah talak boleh jatuh sekiranya suami tidak memberikan perkara tersebut dalam tempoh minggu itu?
Mohon penjelasan tentang hukum situasi ini dan sama ada saya perlu mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Syariah. Terima kasih.
Jawapan
Menjawab persoalan puan, perkataan isteri kepada suami iaitu : “Kalau awak tak bagi duit saya minggu ni, awak ceraikan saya.” bukanlah taklik. Apatah lagi isteri tiada kuasa untuk melafazkan talak atau bertaklik cerai kerana kuasa/ hak talak adalah di tangan suami bukan isteri.
Sekiranya pasangan suami isteri ada masalah dalam rumahtangga berkaitan nafkah dan sebagainya, boleh hubungi Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran untuk penjelasan selanjutnya.