BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya mengenai lafaz taklik talak yang diucapkan oleh suami saya semalam ketika dia sedang marah.

Dia berkata:

“You are not allowed to go out Monday-Friday, if you go out, divorce automatically.”

Selepas dari tu, kami terus tidur, dan harini berdamai, tetapi dia mengatakan bahawa dia tidak mengingati apa yang telah dikatakan semalam dan dia tidak maksudkan cerai pun.

Saya sampai sekarang tidak keluar selepas dia lafazkan tu, sebab saya risau taklik tu sah.

  1. Adakah lafaz tersebut dikira sebagai taklik talak yang sah?
  2. Jika lafaz tersebut sah, apakah yang perlu kami lakukan untuk membatalkan atau menarik balik taklik tersebut, memandangkan saya pasti perlu keluar rumah pada hari Isnin hingga Jumaat pada masa akan datang?
  3. Jika lafaz tu sah, dan jatuh kerana saya keluar pada masa akan datang, dan kami rujuk kembali, adakah taklik tu terbatal terus dan saya boleh keluar macam biasa tanpa talak jatuh lagi lepas rujuk?

Mohon pandangan dan nasihat pihak Mufti kerana perkara ini melibatkan status perkahwinan saya dan kami tak berniat untuk cerai.

Terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1. Lafaz suami iaitu, “You are not allowed to go out Monday-Friday, if you go out, divorce automatically” merupakan lafaz taklik talak yang jelas menurut pandangan mazhab al-Shafi‘i. Oleh itu, sekiranya isteri keluar rumah sebagaimana yang disebut dalam lafaz tersebut, maka boleh menyebabkan jatuh talak kerana syarat taklik telah berlaku. Namun, kenyataan suami yang mengatakan bahawa beliau tidak mengingati lafaz tersebut perlu diberi perhatian. Jangan terus membuat kesimpulan bahawa talak telah jatuh hanya berdasarkan kebimbangan atau andaian. Perlu ditentukan apa yang sebenarnya berlaku pada ketika lafaz itu diucapkan, termasuk tahap kesedaran suami, lafaz yang tepat dan sebenar serta maksud sebenar lafaz tersebut.

2. Majoriti fuqaha Mazhab, antaranya Mazhab Shafi’i, berpendapat bahawa lafaz taklik talak tidak boleh ditarik balik apabila telah dilafazkan. Ini adalah kerana lafaz taklik talak atau dinamakan juga cerai bersyarat merupakan salah satu bentuk talak, yang apabila dilafazkan ia tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan.

3. Ya, jika benar-benar telah disahkan bahawa taklik itu sah, syarat taklik telah berlaku, talak jatuh kerana pelanggaran taklik tersebut, kemudian suami melakukan rujuk yang sah dalam tempoh idah, maka taklik tersebut telah luput dan tidak berkuat kuasa lagi selepas rujuk.

Memandangkan urusan pengesahan sesuatu perceraian terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka pihak puan hendaklah merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan serta mendapatkan pengesahan berhubung perkara tersebut dengan kadar segera, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 57, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 8

message user image