BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

Saya ingin bertanya mengenai status lafaz perceraian yang telah diucapkan oleh suami saya. Adakah situasi perbuatan ini telah mengakibatkan talak telah terjadi;

Situasi Pertama; 

1. Pada satu hari ketika itu berlaku pergaduhan di antara kami suami isteri dan menyebabkan saya telah menghantar mesej whatsapp kepada suami saya dan memaksa beliau untuk melepaskan saya. Ketika itu suami saya berada di tempat kerja dan kami bertengkar melalui mesej. Dan dalam keadaan masing-masing dalam kemarahan saya telah memaksa beliau melepaskan saya. Dan mesej whastapp tersebut telah dibalas oleh suami saya dengan mengatakan  "Ho aku lepas mu" adakah ini merupakan talak kinayah?  

 

Situasi Kedua;
2. Kami telah bergaduh ketika berada di kampung. Dan ketika itu saya telah meminta suami untuk ke mahkamah untuk penceraian setelah pulang ke selangor. Dan suami telah berbual bersama ibubapanya dengan mengatakan saya telah meminta untuk bercerai dan telah mengajak beliau ke mahkamah untuk bercerai setelah pulang ke selangor. - Ini adalah perbualan beliau bersama ibu bapa sahaja tanpa pengetahuan saya. 

 

Situasi Ketiga;
3. Pada 4/09/2026 telah berlaku pergaduhan antara kami dan suami telah mengugut saya dengan mengatakan "mu tak balik rumah sebelum pukul 8 malam ini jatuh talak" dan saya tidak pulang sebelum pukul 8 malam tersebut. Adakah talak telah berlaku?

Segala maklum balas dan penjelasan amat dihargai. Sekian terima kasih. 


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan-persoalan puan tersebut, maka jawapan-jawapannya adalah seperti berikut:

1. Ungkapan: "Ho aku lepas mu" boleh dikategorikan sebagai lafaz kinayah yang mengakibatkan jatuhnya talak. Walaubagaimanapun, ianya memerlukan kepada niat daripada pihak suami. Al-Dimyati menulis dalam I’anah al-Tolibin:

وإما كناية وهي كل لفظ احتمل ظاهره غير الطلاق، ولا تنحصر ألفاظها وحكمها أنها تحتاج إلى نية إيقاع الطلاق بها.

Maksudnya: Adapun lafaz kinayah adalah setiap lafaz yang pada zahirnya mempunyai kemungkinan membawa maksud selain talak. Lafaz-lafaz kinayah tidak terbatas, dan hukumnya adalah ianya memerlukan niat untuk menjatuhkan talak dengannya.

2. Tiada apa-apa kesan hukum terhadap perkahwinan hanya dengan perbuatan suami menceritakan kepada ibu bapanya bahawa isterinya telah meminta perceraian dan mengajak beliau ke mahkamah. Perbualan tersebut tidak mengandungi lafaz talak yang ditujukan kepada isteri, sebaliknya hanya merupakan pemberitahuan atau penceritaan mengenai hasrat isteri untuk mendapatkan perceraian.

Adapun tindakan untuk membawa perkara tersebut ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan perceraian merupakan suatu proses yang selaras dengan prosedur undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di Malaysia.

3. Ungkapan: "mu tak balik rumah sebelum pukul 8 malam ini jatuh talak" pada zahirnya adalah lafaz taklik talak iaitu suami menggantungkan jatuhnya talak kepada sesuatu syarat yakni isteri tidak pulang ke rumah sebelum pukul 8 malam. Al-Khatib al-Sharbini menulis dalam Mughni al-Muhtaj berkenaan ini:

أن تعليق الطلاق مع وجود الصفة تطليق جزما كالتنجيز وإيقاع في الأصح

Maksudnya: Sesungguhnya menggantungkan talak dengan sesuatu sifat, apabila sifat tersebut wujud, merupakan talak secara pasti seperti talak yang dilakukan secara langsung, dan itulah pendapat yang asah (dalam mazhab Shafi’i)

Pihak puan dan suami disyorkan untuk ke Unit Undang-Undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah dan Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera untuk mendapatkan pengesahan mengenai status perkahwinan dan tindakan selanjutnya yang perlu diambil.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 7

message user image