Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, sy nk bertanya..suami sy seorang yg kuat minum ketum, Dan saya dh usaha utk nasihatkan dia berhenti tapi masih tidak berjaya dan saya ada sruh dia bertaklik tidak akan mnum lgi dh air ketum, tp kalau kata dia masih mnum, adakah talak akan jatuh ke atas sy walaupun taklik tersebut dia buat atas paksaan saya/sy yg suruh
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
Persoalan ini bergantung kepada lafaz sebenar yang diucapkan oleh suami ketika kejadian tersebut berlaku. Sekiranya suami benar-benar melafazkan taklik yang dikaitkan dengan talak, contohnya: "Jika aku minum air ketum lagi, maka jatuh talak kepada isteriku," dengan lafaz yang jelas, dalam keadaan memahami maksud dan kesan lafaz tersebut, maka taklik itu pada asasnya adalah sah menurut hukum syarak. Sekiranya syarat yang ditetapkan benar-benar berlaku, maka perkara tersebut hendaklah dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan. Ini kerana Mahkamah Syariah ialah pihak yang berbidang kuasa untuk meneliti fakta, menilai kesahihan lafaz dan keadaan ketika ia diucapkan, serta memutuskan sama ada talak telah berlaku atau sebaliknya.
Berhubung dakwaan bahawa lafaz itu dibuat atas "paksaan", perkara ini juga memerlukan penelitian. Dalam hukum syarak, paksaan yang boleh memberi kesan kepada keabsahan sesuatu lafaz ialah ikrah mulji' iaitu paksaan yang disertai ancaman yang serius sehingga seseorang tidak lagi mempunyai pilihan yang munasabah untuk menolak. Adapun jika "paksaan" yang berlaku hanyalah pujukan, desakan, rayuan atau permintaan daripada isteri tanpa ancaman yang menghilangkan kerelaan suami, maka keadaan tersebut lazimnya tidak dianggap sebagai ikrah mulji'. Penentuan perkara ini bergantung kepada fakta dan keadaan sebenar ketika lafaz tersebut diucapkan.
Sekian, terima kasih