Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
As salam ustaz.
Nak tanya. Saya pernah bergaduh dengan isteri sebab dia terlampau cemburu. Dia menangis melampau-lampau, marah melampau, memaksa saya untuk melafazkan taklik sekiranya saya curang, jatuh talak. Isteri dalam keadaan yg sangat tidak waras, menjerit dalam kereta memaksa saya melafazkan. Pada Ketika itu saya rasa sgt marah dan cuba menahan sabar. Akhirnya saya melafazkan taklik sekiranya curang maka jatuh talak tanpa sedar kerana hilang sabar. Adakah sah taklik tersebut, kerana pada Ketika itu kami tidak berapa waras kerana gaduh melampau dan menyesal selepas itu.
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan :
Persoalan ini bergantung kepada lafaz sebenar yang diucapkan oleh suami ketika kejadian tersebut berlaku. Sekiranya suami benar-benar melafazkan taklik yang dikaitkan dengan talak, contohnya: "Sekiranya saya curang, jatuh talak," dengan lafaz yang jelas, dalam keadaan suami memahami maksud dan kesan lafaz tersebut, maka taklik itu pada asasnya adalah sah menurut hukum syarak. Sekiranya syarat yang ditetapkan benar-benar berlaku, maka ia boleh menyebabkan talak jatuh dan perkara tersebut hendaklah dirujuk ke Mahkamah Syariah atau Pejabat Agama Islam Daerah untuk mendapatkan pengesahan. Ini kerana Mahkamah Syariah ialah pihak yang berbidang kuasa untuk meneliti fakta, menilai kesahihan lafaz dan keadaan ketika ia diucapkan, serta memutuskan sama ada talak telah berlaku atau sebaliknya.
Berhubung dakwaan bahawa lafaz itu dibuat atas "paksaan", perkara ini juga memerlukan penelitian. Dalam hukum syarak, paksaan yang boleh memberi kesan kepada keabsahan sesuatu lafaz ialah ikrah mulji' iaitu paksaan yang disertai ancaman yang serius sehingga seseorang tidak lagi mempunyai pilihan yang munasabah untuk menolak. Adapun jika "paksaan" yang berlaku hanyalah pujukan, desakan, rayuan atau permintaan daripada isteri tanpa ancaman yang menghilangkan kerelaan suami, maka keadaan tersebut lazimnya tidak dianggap sebagai ikrah mulji'. Penentuan perkara ini bergantung kepada fakta dan keadaan sebenar ketika lafaz tersebut diucapkan.
Sekian, terima kasih