Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Seorang suami telah chat lucah dengan peremouan lain kemudian diketahui oleh isterinya dan isterinya marah.. Namun beberapa hari kemudian isterinya memaafkan kesalahan suaminya tersebut sambil bertanya, "kalau saya buat macam tu, adakah awak boleh nak maaf?"
Kemudian si suami menjawab, "saya tak boleh nak maaf",. Ketika menjawab soalan isterinya si suami merasakan dalam hatinya, jika benar berlaku demikian dia rasa seperti nak cerai, tapi ketika dia melafazkan ayat ini "saya tak boleh nak maaf", si suami tidak sedar bahawa jawapannya tersebut boleh menjadi taklik kinayah..
Adakah telah berlaku taklik kinayah dalam keadaan mereka tidak sedar?
Jawapan
Lafaz suami, "Saya tak boleh nak maaf," bukanlah lafaz yang pada kebiasaannya difahami menurut syarak atau uruf sebagai lafaz talak, sama ada talak sarih mahupun kinayah. Walaupun ketika mengucapkannya suami terlintas di dalam hati bahawa jika perkara tersebut benar-benar berlaku dia berasa seperti ingin menceraikan isterinya, lintasan atau niat yang tidak dizahirkan melalui lafaz talak atau lafaz taklik yang jelas tidak memberikan sebarang kesan hukum terhadap talak atau taklik.
Oleh yang demikian, perkahwinan tuan dan puan kekal seperti sedia ada. Tidak wajar dianggap bahawa talak atau taklik telah berlaku hanya berdasarkan sangkaan terhadap suatu ucapan yang pada asalnya tidak mengandungi lafaz atau maksud talak. Dalam hukum syarak, talak tidak sabit semata-mata dengan lintasan hati atau andaian, sebaliknya mestilah berdasarkan lafaz yang diiktiraf oleh syarak serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Sekian, terima kasih