Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Ustaz saya ada soalan yang bermain di fikiran dan memerlukan jawapan. Bolehkah mewakilkan isteri dengan benda lain seperti objek tak bernyawa contohnya kereta, rumah, makanan dan lain-lain dalam lafaz cerai kinayah? Saya sering diserang bisikan2 secara rawak mewakilkan isteri dengan benda-benda lain terutamanya ketika percakapan dan komunikasi dengan ahli keluarga dan di khalayak awam hingga menimbulkan keresahan di hati saya. Harap dapat memberikan jawapan. Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan, dalam hukum talak sama ada melalui lafaz sarih atau kinayah, lafaz tersebut hendaklah ditujukan kepada isteri atau mempunyai kaitan yang jelas dengan hubungan perkahwinan (محلٌّ للطلاق). Oleh itu, talak tidak boleh ditujukan kepada wanita asing (ajnabiyyah), tunang, bekas isteri yang telah tamat idah, atau selain daripada isteri yang masih berada dalam ikatan perkahwinan.
Begitu juga, isteri tidak boleh disamakan atau diwakilkan dengan objek yang tidak bernyawa seperti kereta, rumah, makanan, pakaian dan seumpamanya kerana objek-objek tersebut bukan pihak yang sah untuk dikenakan talak menurut syarak.
Oleh itu, jika seseorang menyamakan, membayangkan atau "mewakilkan" isteri dengan benda tidak bernyawa seperti kereta, rumah, telefon, makanan dan seumpamanya, maka ia tidak memenuhi syarat isteri sebagai محلّ الطلاق (objek yang sah bagi talak). Maka, perkara tersebut bukanlah lafaz talak yang sah dan ia tidak memberi sebarang kesan kepada perkahwinan.
Sekian, terima kasih