BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Salam dan selamat sejahtera. Saya ingin bertanya jika suami kerap mengatakan saya bangkai dan tidak menunaikan hak tempat tinggal keatas saya dengan alasan anak masih kecil dan tiada yang hendak menguruskan jika ada keperluan mendesak. Sekarang saya tinggal bersama mak mertua, adik ipar sekeluarga di rumah mertua. Bila saya mohon dia pindah tinggal dirumah sewa atau usahakan bina rumah sendiri sebab dia lebih dari mampu untuk menunaikan hak tersebut, dia enggan atas alasan yang diatas. Sekarang saya jadi mati rasa dan mula hilang hormat. Bila bersama saya rasa diri ni seperti pelacur. Nyusuz ke saya jika saya muha melawan dia dan tidak menunaikan hak batin dia. Sekian terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan, menurut hukum syarak, secara umumnya suami wajib menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk isteri mengikut kemampuan yang dimiliki oleh suaminya. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat ke 6:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Tempatkanlah mereka (para isteri yang diceraikan dan masih dalam idah) di mana kamu tinggal menurut kemampuanmu, dan janganlah kamu menyusahkan mereka dengan tujuan menyempitkan kehidupan mereka. Jika mereka sedang mengandung, maka berikanlah nafkah kepada mereka sehingga mereka melahirkan kandungannya. Kemudian jika mereka menyusukan anak-anakmu untukmu, maka berikanlah kepada mereka upahnya, dan bermusyawarahlah antara kamu dengan cara yang baik. Tetapi jika kamu menghadapi kesulitan, maka perempuan lain boleh menyusukan anak itu untuknya.

Mazhab Syafi‘i menjelaskan bahawa isteri berhak mendapat tempat tinggal yang memberikan privasi, keselamatan dan ketenteraman. Pada asalnya, suami tidak boleh memaksa isteri tinggal bersama ahli keluarganya seperti ibu bapa atau adik-beradik jika keadaan tersebut menimbulkan mudarat, mengganggu privasi atau menyebabkan kesukaran kepada isteri, kecuali jika isteri reda. Apatah lagi, sekiranya suami benar-benar berkemampuan untuk menyediakan rumah yang berasingan tetapi sengaja enggan berbuat demikian tanpa alasan syarie, sedangkan keadaan tinggal bersama keluarga mertua menimbulkan kesusahan kepada isteri, maka suami boleh dianggap telah mengabaikan sebahagian daripada tanggungjawabnya.

Berhubung persoalan puan sama ada puan menjadi nusyuz jika enggan melayani suami, hukum asalnya ialah isteri wajib memenuhi hak suami dalam hubungan kelamin apabila tiada keuzuran syarie. Namun, isu nusyuz tidak boleh dinilai hanya berdasarkan satu perbuatan semata-mata tanpa melihat keseluruhan keadaan rumah tangga atau sebab kenapa isteri bertindak sedemikian. Jika keengganan isteri itu berpunca daripada tekanan emosi, penghinaan yang berterusan, layanan yang buruk, atau suami sendiri mengabaikan hak-hak asas isteri seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian, nafkah batin dan sebagainya, maka keadaan tersebut perlu dinilai secara menyeluruh. Dalam keadaan sebegini, tidak wajar terus menghukum isteri telah melakukan nusyuz semata-mata kerana enggan memenuhi permintaan suami, sebaliknya, kedua-dua pihak mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan secara bersama, adil, hikmah dan saksama.

Sebagai solusi bersama : 

  • Berbincanglah secara baik dengan suami mengenai keperluan mendapatkan tempat tinggal yang lebih sesuai demi keharmonian rumah tangga.
  • Jika perbincangan tidak berhasil, dapatkan bantuan pihak ketiga seperti ahli keluarga yang dihormati atau kaunselor keluarga Islam.
  • Sekiranya suami terus mengabaikan tanggungjawab, menghina puan dan keadaan menjadi semakin memudaratkan, puan boleh mendapatkan khidmat nasihat di Pejabat Agama Islam atau memfailkan tuntutan yang bersesuaian di Mahkamah Syariah, termasuk berkaitan nafkah, tempat tinggal atau tuntutan lain yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Semoga Allah SWT mengurniakan ketenangan, memperbaiki hubungan puan dan suami serta memberikan penyelesaian yang terbaik kepada pun dan keluarga.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 161

message user image