BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Pada awal perkahwinan, pendapatan saya lebih sedikit dari suami dan saya layak membuat pinjaman perumahan kerajaan. Suami belum layak. Saya bersetuju untuk membeli rumah bagi keluarga kecil kami, membayar persekolahan anak-anak, membayar van sekolah, tidak berkira membeli keperluan dapur, sehinggalah kini anak kami bertambah menjadi 7 orang. Tahun silih berganti, suami sambung belajar dan setelah lebih 15 tahun, pendapatannya meningkat sehingga berpangkat Pengarah Jusa C. Beliau membeli 2 buah rumah lagi sebagai persediaan untuk anak- anak dan membeli sebidang tanah untuk kami tinggal usai pencen kelak. Manakala gaji dan pangkat saya tidak banyak berubah kerana bercuti tanpa gaji ke luar negara mengikut suami sambung belajar. Saya masih dipotong gaji untuk bayar pinjaman rumah (makin meningkat nilai potongan kerana cuti tanpa gaji), masih membayar sekolah anak-anak. Saya makin tertekan kerana sentiasa tidak cukup wang untuk perbelanjaan diri sendiri dan belanja ibubapa saya, kami kurang keluar bercuti dan sentiasa tidak cukup wang untuk membayar penyelenggaraan rumah. Adakah saya berdosa jika tidak redha sekarang wang saya digunakan untuk rumah, sekolah anak dan sebagainya yang sepatutnya menjadi kewajipan suami setelah beliau sangat mampu? Saya bimbang suami berdosa kerana saya semakin sukar untuk redha. Bantu saya. Saya sentiasa tertekan dengan situasi ini dan sering jatuh sakit. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan tersebut, Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 34:

الرِّجالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّساءِ بِما فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلى بَعْضٍ وَبِما أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوالِهِمْ

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka

Pada ayat lain Allah SWT juga berfirman dalam surah Al-Talaq ayat 7:

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ

Maksudnya: Hendaklah orang yang mempunyai keluasan (rezeki) memberi nafkah menurut kemampuannya

Al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin menulis:

نَفَقَةُ الزَّوْجَةِ فَوَاجِبَةٌ بِالنُّصُوصِ وَالْإِجْمَاعِ

Maksudnya: Nafkah isteri adalah wajib (ke atas suami) berdasarkan nas syarak dan ijmak

Pengorbanan yang dilakukan dahulu adalah sedekah, bantuan atau sumbangan yang diberikan dengan kerelaan pada ketika itu. Apabila suami kini telah mempunyai kemampuan kewangan yang jauh lebih baik, maka adalah munasabah menurut syarak untuk mengharapkan beliau memikul tanggungjawab nafkah dengan lebih sempurna. Puan tidak berdosa hanya kerana merasa berat hati atau tidak lagi mampu menanggung beban kewangan seperti dahulu kerana Islam tidak mewajibkan seorang isteri menggunakan hartanya sendiri untuk menanggung nafkah keluarga terutama apabila suami mampu.

Tindakan terbaik yang boleh dilakukan buat masa ini adalah berbincang dengan suami secara tenang dan terbuka.  Sebagai contoh, jelaskan keadaan kewangan puan yang semakin tertekan, tunjukkan jumlah sebenar komitmen yang masih ditanggung, dan mohon agar beliau mengambil alih tanggungjawab nafkah anak-anak serta membantu komitmen rumah yang masih dipotong daripada gaji puan. Perbincangan sebegini bukan bererti puan berkira, tetapi menuntut agar hak dan tanggungjawab diletakkan pada tempatnya.
 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 75

message user image