Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
saya dengan isteri ada berlaku pergaduhan sehingga saya ada membuat lafaz taklik kepada isteri saya. '(Nama penuh isteri), kalau malam ni awak tidur peluk saya, jatuh talak 1. dan kami tidur dalam satu katil. keesokan harinya, isteri saya memberitahu saya yang dia yakin dia tak peluk saya. Dia ada bertanya kepada saya adakah saya rasa dipeluk malam semalam dan saya menjawab saya tak sedar sebab saya tidur dalam keadaan nyenyak. isteri saya pula takut dia terpeluk saya ketika dia tidur dalam keadaan nyenyak.
persoalan saya, adakah lafaz taklik saya sah dan jatuh?
terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan, lafaz tersebut adalah lafaz taklik talak, iaitu talak yang digantungkan kepada berlakunya suatu perkara tertentu. Dalam situasi tuan, tuan telah menyandarkan talak kepada satu syarat, iaitu isteri tidur sambil memeluk tuan pada malam tersebut. Jika syarat yang dimaksudkan itu benar-benar berlaku menurut maksud lafaz yang tuan kehendaki ketika mengucapkannya, maka talak boleh berlaku apabila syarat tersebut terlaksana.
Namun berdasarkan keadaan yang tuan nyatakan, talak tidak boleh dianggap telah jatuh hanya kerana ada kemungkinan isteri terpeluk ketika tidur. Isteri sendiri yakin dia tidak memeluk dan tuan pula tidak mengetahui perkara tersebut kerana tidur nyenyak. Maka sekadar syak atau kebimbangan tidak memadai untuk menetapkan berlakunya talak.
Walaubagaimanapun, memandangkan penentuan hukum dalam kes talak adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah sebagai pihak yang berautoriti, apatahlagi sekiranya berlaku pertikaian atau timbul keraguan sama ada syarat taklik telah dipenuhi atau tidak, maka tuan bolehlah dalam kadar segera merujuk perkara ini ke Mahkamah Syariah yang berhampiran kerana mereka adalah pihak yang berbidang kuasa untuk meneliti keterangan dan memutuskan status talak menurut hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sekian, terima kasih