BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya prosedur dan denda berkenaan:

Kronologi: 

1. Ibu Bapa saya berkahwin di Siam dan tidak mendaftarkan perkahwinannya di Malaysia.

2. Ibu Bapa pun sudah bercerai namun masih belum juga mendaftarkan hal ini ke pejabat agama di Malaysia.

3. Seperti yang saya tahu sijil nikah di Siam ada dua iaitu satu sijil rumi dan satu sijil jawi tapi salah satu daripada sijil ini sudah hilang.

4. Ibu saya sudah mendapatkan surat pengesahan bercerai di Siam juga. 

Daripada kronologi ini, apakah prosedur yang saya dapat lakukan untuk memudahkan proses perkahwinan saya ya? dan berapakah anggaran jumlah denda yang perlu dibayar ya?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada soalan yang diajukan, ibu bapa saudari masih perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia meskipun telah bercerai kerana pejabat agama perlu mengesahkan status perkahwinan mereka sama ada sah atau tidak. Prosedur ini sangat penting kerana akan menentukan wali nikah kepada saudari nanti. Adapun sijil nikah ibu bapa saudari di Siam yang tinggal hanya salah satu sahaja sama ada rumi atau jawi tidak menjadi sebarang permasalahan, boleh sahaja dibawa ke pejabat agama untuk prosedur pendaftaran pernikahan. Bagi kesalahan tidak mendaftarkan pernikahan pula boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM1000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Oleh itu, sebarang pertanyaan lanjut saudari hendaklah segera merujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) berdekatan kerana ini melibatkan bidang kuasa pejabat agama.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 163

message user image