BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Saya(isteri) dan suami telah berkahwin selama 5 tahun. Namun sepanjang perkahwinan, saya belum disentuh oleh suami dan masih anak dara. Suami nekad menceraikan saya kerana telah berlaku curang dan sangat cinta kepada wanita tersebut (yang mana isteri orang). Suami menyatakan selama perkahwinan dia tidak cinta kepada saya dan kahwin dalam keadaan terpaksa. Sedangkan sebelum berkahwin kami telah berkenalan selama 3 tahun dan sama2 bersetuju untuk kahwin. Sekiranya diceraikan saya tiada iddah dan tidak boleh menuntut sebarang nafkah daripada suami. 
Soalan saya, apakah hak saya sebagai isteri? Adakah saya hanya perlu menerima perpisahan ini.. Saya terasa dianiayai dan dizalimi, sepanjang perkahwinan dinafikan hak saya sebagai isteri. Tak memasal saya jadi janda berhias dan berubah status dari anak dara ke janda hanya kerana kekhilafan Suami. Sekarang suami ingin menceraikan saya apabila ada wanita lain. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan puan, dalam keadaan tersebut, isteri tidak dikenakan tempoh iddah dan tidak berhak mendapat nafkah dalam iddah. Namun isteri boleh menuntut hak antaranya:

1. Hak Mahar - Sekiranya mahar telah ditetapkan semasa akad nikah, maka menurut mazhab Shafi'i, isteri berhak mendapat separuh daripada mahar yang dipersetujui sekiranya perceraian berlaku sebelum persetubuhan.

2. Hak Mut'ah - Isteri juga berhak menuntut mut'ah, iaitu pemberian saguhati daripada suami selepas perceraian sebagai pampasan atas perpisahan. kadarnya adalah mengikut kemampuan suami.

3. Nafkah Tertunggak - Sekiranya sepanjang tempoh perkahwinan suami gagal menyediakan nafkah zahir seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal, maka isteri boleh menuntut nafkah tertunggak.

Justeru, isteri disarankan untuk merujuk kepada peguam syarie atau pihak berautoriti seperti Pejabat Agama Islam Daerah dan Mahkamah Syariah yang berhampiran berkaitan Undang-undang Keluarga Islam bagi mendapatkan nasihat lanjut berhubung kemungkinan tuntutan hak-hak lain menurut undang-undang semasa.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 108

message user image