Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya: apakah didalam masa iddah (krn suami meninggal Dunia), isteri dibolehkan memakai parfum didalam rumah? (Didalam rumah tiada sesiapa kecuali si isteri itu sendiri, dan dia tidak keluar rumah). Itu sahaja pertanyaannya. Mohon pencerahannya. Terima kasih
Jawapan
Pada asasnya wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah kerana kematian suami wajib menjalani ihdad, iaitu meninggalkan perkara-perkara yang dikira sebagai perhiasan atau berhias, termasuk memakai minyak wangi, perfume, wangian badan, body mist atau wangian pada pakaian, dan larangan ini tetap terpakai walaupun seseorang itu hanya berada seorang diri di dalam rumah, tidak keluar rumah dan tiada sesiapa yang dapat menghidu wangian tersebut, kerana hukum ihdad berkaitan dengan keadaan wanita yang sedang berkabung, bukan semata-mata kerana kewujudan lelaki ajnabi. Namun begitu, seseorang itu dibenarkan dalam perkara menjaga kebersihan diri seperti mandi, mencuci rambut, menggunakan sabun dan syampu serta memakai pakaian yang bersih dan sopan, selagimana ianya tidak bertujuan untuk berhias dengan cara yang dilarang.
Menjawab persoalan yang diajukan, disarankan agar puan dapat menahan diri daripada memakai wangi-wangian melainkan atas sebab-sebab seperti yang dinyatakan diatas sehingga tamat tempoh ‘iddah puan iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Atiyyah:
Maksudnya: Seorang wanita dilarang berkabung atas kematian seseorang lebih dari tiga hari kecuali atas kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Janganlah dia memakai pakaian yang dicelup kecuali pakaian ‘asab (kain berasal dari Yaman yang diperbuat daripada benang yang yang dicelup dengan warna kemudian dipintal), janganlah memakai celak, jangan memakai minyak wangi kecuali ketika dia bersuci daripada haid, hendaklah dia mengambil sepotong qusth atau azhfaar (sabun bagi tujuan menghilangkan bau darah dan bukan tujuan berwangi-wangian). - Riwayat Muslim
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.