Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya rasa saya terlafaz talak seorang diri di rumah sekitar 2 tahun lalu. Waktu itu saya sahaja di rumah, isteri tiada di rumah. Cuma sekarang saya hairan, adakah lafaz tersebut bersuara atau tidak bersuara? Saya juga hairan adakah ayatnya ada sebut nama isteri atau guna kata ganti nama isteri. Akhir sekali, yang membimbangkan saya adakah saya sebut talak 1 atau talak 3? Dulu saya berpengetahuan bahawa lafaz tanpa kehadiran isteri dikira tidak sah. Sekarang, saya bimbang adakah dulu saya terlafaz atau terfikir sahaja ketika berada di rumah berseorangan? Ayatnya juga saya tertanya adakah ayat yang jelas atau tidak? Sebut nama isteri atau tidak? Bersuara atau tidak bersuara hanya fikiran dalam kepala? Adakah ini keraguan? Adakah ini was-was? Adakah saya berbohong?
Jawapan
Berdasarkan situasi yang dikemukakan, saudara sebenarnya telah dibelenggu dengan perasaan was-was. Orang yang berada dalam was-was tidak diambil kira melainkan dia betul-betul yakin dengan ucapan yang telah dilafazkannya. Justeru, Islam tidak menetapkan sesuatu hukum berdasarkan rasa syak, ragu-ragu, sangkaan atau tidak pasti. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:
Maksudnya: Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.
Begitu juga kaedah feqah menyebut:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan syak (keraguan).
Oleh itu, seandainya seseorang itu tidak pasti sama ada melafazkan talak ataupun tidak, atau tidak pasti lafaz yang diucapkan, maka ia tidak memberi apa-apa kesan kepada ikatan perkahwinan.
Walau bagaimanapun, saudara juga boleh dapatkan penjelasan lanjut berkenaan perkara ini di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran.
Sekian, terima kasih.