BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan tindakan yang kurang baik dari ahli keluarga sendiri terhadap saya. Mak saya sering kali menghalang saya untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki walaupun lelaki itu seorang alim, dan mak saya akan buka aib saya depan kenalan saya supaya mereka benci saya. Mak saya ada beritahu yang dia tidak mahu saya berkahwin dan ingin saya tolong dia dalam meniaga. Tetapi setiap kali di rumah Mak saya suka menghina saya. Dia akan bantai saya kalau saya melawan cakap dia. Padahal saya dah 25 tahun. Mak saya tak tegur adik lelaki saya yang bawa kawan perempuan balik rumah sebab dia kata adik saya itu lelaki dia boleh buat apa dia suka. Sekarang ini saya dah tak duduk sekali dengan mereka sebab trauma dengan apa yang jadi. Cumanya dia ada pujuk saya untuk balik beserta maki hamun mengatakan saya anak derhaka dan dia boleh sumpah untu hancurkan hidup saya. 

 

Persoalan saya adalah :- Adakah saya memerlukan restu mak saya untuk kahwin apabila situasi begini berlaku? Adakah saya anak derhaka sedangkan saya rasa saya terancam dengan dia?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Di dalam Islam, redha dan restu daripada ibu bapa sangatlah dituntut namun tidaklah sehingga mengabaikan hak dan keselamatan diri sendiri. Adapun ketaatan kepada ibu bapa wajib dipenuhi selagi mana tidak bercanggah dengan syariat yang digariskan agama.

Hadis daripada Saidina Ali RA bahawa Nabi SAW bersabda: 

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudya: Tiada ketaatan dalam perkara maksiat (kepada Allah), sesungguhnya ketaatan itu hanyalah pada perkara-perkara yang baik (kebajikan).                               (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Berdasarkan situasi yang dinyatakan, saudari tidak memerlukan restu untuk berkahwin daripada ibu sekiranya beliau membantah atau tidak bersetuju dengan perkahwinan tanpa alasan yang munasabah. Saudari boleh meminta adik lelaki untuk menjadi wali nikah. Sekiranya beliau enggan atau menolak, barulah saudari membuat permohonan kepada mahkamah syariah untuk mendapatkan kebenaran berkahwin daripada wali hakim.

Adapun perbuatan menjauhkan diri demi menyelamatkan diri daripada ancaman dan perbuatan zalim yang dilakukan oleh ibu tidaklah dikira sebagai menderhaka. Ini kerana ketaatan kepada ibu bapa mestilah meliputi perkara yang tidak memudharatkan diri dan tidak bertentangan dengan kehendak syarak.

Namun saudari tetap perlu terus menghormati ibu dan cuba sedaya upaya untuk membantunya jika diperlukan, tanpa memudharatkan diri sendiri.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 54

message user image