Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya sudah menikah selama 16 tahun. Punya anak lelaki umur 15 tahun. Sejak anak saya berumur 6 bulan, suami telah keluar dari rumah dan meninggalkan saya dan anak sehingga sekarang. Dia hanya balik untuk menjenguk tetapi tidak pernah bermalam dirumah. Dia tinggal di apartment servis di sebuah shopping mall, lebih kurang 5km jaraknya dari rumah saya, tetapi saya dan anak tak tahu alamat sebenar. Untuk pengetahuan saya bernikah dengan duda anak dua setelah dia menduda selama 3 tahun. Hanya anak tiri sahaja tahu dimana lokasi sebenar rumah suami saya tinggal kerana suami hanya berkongsi rumah itu dengan kedua anaknya. Suami hanya pulanh dan melibatkan saya dengan aktiviti keluarganya mengikut kemahuan dia sahaja. Sehinggakan mak mertua saya sudah meninggal selama 3 tahun pun saya baru tahu. Saya pernah dihalau keluar dari rumah yang saya duduki semasa anak berumur 6 ke 7 bulan, disebabkan saya tak bekerja dan tak mahu membebankan kedua ibu bapa, saya tak keluar dari rumah ini. Saya menunggu suami pulang. Apabila bertemu dan keluar dengan suami saya selalu bertanya bilakah dia akan pulang, pada mulanya dia memberitahu lagi 3 tahun, kemudian setelah 3 tahun, dia beritahu lagi 2 tahun..ini berlanjutan dari umur saya 27 tahun sehinggalah 42 tahun. Saya sangat tertekan dan pernah beberapa kali memohon cerai darinya tetapi suami berkata dia tak akan lepaskan. Dan dia selalu berkata tak akan ada sesiapa boleh bertahan dengan saya. Dia juga sering memberitahu bahawa perangai saya buruk sehingga dia tak mahu pulang dan hidup bersama. Pada tahun ini suami memberikan saya rumah ini dan sebidang tanah seluas 5k persegi. Suami juga ada memberi duit perbelanjaan bulanan, keretanya, membayar bil elektrik, air, cukai pintu, serta credit card (untuk isi minyak kereta). Tetapi apabila saya bertanya bila dia akan balik dan hidup bersama., dia berkata saya mahu mengawal dia. Sudah lebih 2 tahun dia tak beri nafkah batin itu kerana dia tiba2 dapat sakit prostat. Tetapi saya tak pernah persoalkan ini dengam suami kerana takut egonya tercabar. Kini saya tinggal sendirian kerana anak sudah tinggal di asrama selama 3 tahun. Dalam 16 tahun menikah, suami hanya sekali sahaja pernah bermalam di rumah parents saya, selebihnya dia hanya menumpukan kampungnya dan fokus kpd kampung anak2 bekas isteri.walaupun saya tak pernah menyentuh hal ini, tp jauh disudut hati saya terluka. Hanya dua ke tiga kali sahaja kami beraya bersama sama..selwbihnya saya beraya berdua sahaja dengan anak. Saya paling takutkan hari raya,sebab saya tak tahu kemana saya dan anak akan beraya, kami malu kerana suami tiada. Kami hanya beraya bersama apabila suami merasakan kami perlu beraya bersama.Saya tak boleh begini, saya perlu lepas dari ikatan ini, saya rasa x adil, geram, tercalar maruah didepan saudara mara rakan rakan dan jiran. Untuk pengetahuan, saya hanya tahu dia tinggal di apartment di mall setelah kawan saya memberitahu yg dia terserempak dengan suami saya beberapa kali dalam lif, sepupu saya yg tinggal di apartment itu juga pernah terserempak dengan suami saya. Mereka memberitahu saya dan saya terpaksa mereka-reka jawapan. Kini saya ada kerjaya sendiri , saya start bekerja semula sejak tahun 2017.
Soalan saya:
Saya mahu tuntut fasakh, tetapi suami berkata dia tak akan beri kerjasama. Bagaimana saya boleh meneruskan niat saya ini?
Adakah saya berdosa besar kerana berniat untuk meruntuhkan masjid saya sendiri?
adakah Allah akan melaknat saya kerana suami saya sedang marah kepada saya apabila saya memberitahu nya yang saya mahu menuntut fasakh?
Bagaimana saya boleh menjaga iman dari berbuat kemungkaran kerana dalam diri saya selalu berbisik untuk memberontak dan keluar dari agama ini jika saya tak dapat melepaskan diri dari ikatan yang tergantung ini? Padahal saya tahu tak worth untuk saya menggadaikan iman, saya cuma benci dan marah
Adakah saya seorang perempuan yang tak bersyukur? Saya sangat keliru menilai diri saya apabila saya berhasrat menuntut fasakh.
Saya tak mahu lagi dengan ikatan pernikahan ini. Jika dipaksa juga, saya tak kuat lagi bertahan. Mungkin saya akan buat sesuatu diluar jangkauan.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
Puan boleh memohon fasakh walaupun suami tidak bersetuju. Dari sudut Hukum Syarak, fasakh tidak bergantung kepada kerelaan atau persetujuan suami. Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui keputusan Mahkamah Syariah apabila terdapat alasan yang diiktiraf oleh Hukum Syarak dan diperuntukkan oleh undang-undang.
Di Selangor, Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa seseorang perempuan atau lelaki yang berkahwin mengikut Hukum Syarak berhak memohon perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan dalam seksyen tersebut. Antara alasan yang diperuntukkan termasuklah keadaan apabila tempat suami atau isteri tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun serta kegagalan suami menyediakan nafkah dalam tempoh tertentu, tertakluk kepada syarat dan pembuktian yang ditetapkan oleh undang-undang.
Dari sudut syarak, pensyariatan fasakh bertujuan menghilangkan dharar atau kemudaratan yang menimpa salah satu pihak dalam perkahwinan. Oleh itu, sekiranya seseorang isteri telah lama berada dalam keadaan perkahwinan yang tergantung, terabai atau memudaratkan, dan suami pula tidak memberikan kerjasama untuk menyelesaikan keadaan tersebut, isteri boleh mendapatkan penyelesaian melalui saluran Mahkamah Syariah sekiranya terdapat alasan yang munasabah dan diiktiraf oleh Hukum Syarak serta undang-undang.
Islam sememangnya menggalakkan perdamaian dan usaha mempertahankan institusi perkahwinan. Namun, Islam juga tidak memerintahkan seseorang untuk terus berada dalam perkahwinan sekiranya keadaan tersebut membawa kemudaratan yang serius dan berpanjangan. Sekiranya seorang isteri telah berusaha selama bertahun-tahun, berusaha mendapatkan penyelesaian dan meminta suami kembali membina kehidupan berumah tangga, tetapi keadaan tetap tergantung sehingga menimbulkan kemudaratan, maka mendapatkan pembubaran perkahwinan atau fasakh melalui saluran yang sah bukanlah perbuatan dosa dan tidak wajar tindakan itu dianggap sebagai sengaja menghancurkan institusi perkahwinan atau “meruntuhkan masjid”.
Puan juga tidak seharusnya menganggap bahawa kemarahan atau ketidaksetujuan suami terhadap permohonan fasakh bermakna Allah melaknat puan. Kemarahan suami bukan ukuran terhadap kemurkaan atau keredaan Allah. Puan juga tidak menjadi derhaka hanya kerana menyatakan, “Saya tidak mampu lagi hidup dalam keadaan seperti ini dan saya mahu mendapatkan fasakh,” sekiranya permohonan tersebut dibuat atas alasan yang benar dan melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak dan undang-undang.
Walau bagaimanapun, puan hendaklah menjaga adab dan batas syarak dalam menghadapi perkara ini. Jangan menghina, memfitnah atau menzalimi suami sebagai tindak balas terhadap keadaan yang berlaku. Sebaliknya, kemukakan fakta, bukti dan keadaan sebenar kepada pihak berautoriti agar perkara tersebut dapat dinilai secara adil.
Dalam situasi ini juga, puan disarankan merujuk kepada Jabatan Agama Islam atau Pejabat Agama Islam Daerah serta mendapatkan nasihat dan penilaian daripada pihak yang berautoriti berhubung hak puan dan saluran yang sesuai untuk mendapatkan penyelesaian. Jika perlu, puan boleh mendapatkan nasihat lanjut daripada Mahkamah Syariah mengenai proses permohonan fasakh dan bukti yang diperlukan.
Jangan biarkan kemarahan atau tekanan menentukan tindakan puan. Biarlah Hukum Syarak, undang-undang, fakta, bukti dan pertimbangan yang tenang menjadi panduan dalam menentukan langkah seterusnya.
Akhir sekali, jangan sampai masalah rumah tangga menyebabkan puan mengorbankan iman, maruah dan keselamatan diri. Perkahwinan yang bermasalah mempunyai jalan penyelesaian melalui saluran yang dibenarkan syarak. Nyawa, iman dan keselamatan diri puan mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah SWT.
Sekian, terima kasih