Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.saya ada sedikit pertanyaan untuk ustaz.Saya ingin bertanya tentang hukum menghasilkan lukisan/animasi fiksyen seperti yang berikut↓↓
Jika saya menghasilkan sebuah dunia fiksyen yang tidak mempunyai unsur agama, dan terdapat watak lelaki dan perempuan yang bukan mahram dalam dunia fiksyen tersebut, adakah dibenarkan untuk saya menggambarkan mereka berpegangan tangan atau berpelukan sebagai tanda persahabatan, kekeluargaan atau untuk memberi semangat, sekiranya tiada unsur seksual, syahwat atau romantik? Bagaimana pula jika sentuhan tersebut dilakukan secara berlapik seperti menggunakan sarung tangan atau pakaian?
Adakah hukum menggambarkan perbuatan tersebut dalam lukisan/animasi sama seperti hukum melakukan sentuhan tersebut secara nyata di dunia sebenar, memandangkan watak-watak tersebut hanyalah watak fiksyen dan tiada sentuhan fizikal sebenar berlaku?
Selain itu, jika watak lelaki dan perempuan tersebut ialah mahram, contohnya mereka merupakan adik-beradik kandung (abang/adik lelaki dengan kakak/adik perempuan) atau ibu dan anak, adakah saya dibenarkan menggambarkan mereka berpegangan tangan, berpelukan atau saling memberi semangat dalam karya tersebut?
Saya juga ingin mengetahui apakah perbezaan hukum antara:
1. Watak lelaki dan perempuan bukan mahram.
2. Watak lelaki dan perempuan yang merupakan mahram.
3. Sentuhan secara langsung dan sentuhan secara berlapik.
4. Sentuhan yang bersifat persahabatan/kekeluargaan tanpa syahwat dengan sentuhan yang mempunyai unsur romantik atau seksual.
Mohon pihak tuan/ustaz memberikan penjelasan berdasarkan Mazhab Syafi‘i serta pandangan ulama muktabar, khususnya mengenai hukum menggambarkan perbuatan tersebut dalam karya fiksyen/animasi.
Sekian itu sahaja dari saya, semoga dijawab oleh ustaz.Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara asasnya menggambarkan sentuhan antara watak lelaki dan perempuan dalam lukisan atau animasi tidak dihukum dengan hukum yang sama melakukan sentuhan tersebut secara nyata. Hal ini adalah kerana sentuhan yang dibincangkan oleh fuqaha ialah sentuhan hakiki antara individu, sedangkan gambaran dalam karya fiksyen terutama animasi tidak menghasilkan sentuhan fizikal sebenar.
Sekiranya watak tersebut bukan mahram dan adegan berpegangan tangan atau berpelukan hanya bertujuan menggambarkan persahabatan, hubungan sosial atau sokongan, tanpa unsur seksual, syahwat, aurat yang haram atau romantik yang dilarang, maka ia tidak mengambil hukum sentuhan fizikal antara lelaki dan perempuan bukan mahram secara langsung. Namun sebaiknya dielakkan kerana ia boleh menjadi ikutan kanak-kanak atau remaja.
Adapun sekiranya gambaran tersebut mengandungi unsur seksual, erotik, membangkitkan syahwat, mempromosikan hubungan haram atau perkara-perkara lain yang dilarang syarak, maka hukumnya menjadi haram berdasarkan unsur tersebut.
Manakala gambaran antara watak-watak yang merupakan mahram seperti ibu dan anak atau adik-beradik pada asalnya adalah harus selagi tidak mengandungi unsur yang diharamkan.
Sebagai informasi tambahan, sila rujuk Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui pautan berikut: https://www.islam.gov.my/ms/garis-panduan/4570-garis-panduan-kandungan-berunsur-islam-dalam-media-baharu
Sekian, terima kasih.