Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya disini ingin bertanya kepada ustaz beberapa soalan.
Saya pernah berkahwin sebelum ni,saya berkahwin masa saya baru berumur 16 tahun,banyak hal2 hukum hakam dalam rumahtangga yang saya belum faham.saya pernah minta suami bantu bimbing saya tapi suami gagal membimbing.dalam hubungan suami isteri pon saya banyak makan hati dengan suami,bila dia selalu abaikan nafkah batin, kurang beri perhatian dekat saya,tak pernah bertanya sama ada saya okay atau tak.sampaikan saya rasa seperti saya mengemis untuk bersama dengan suami sendiri.saya pernah minta dia berubah tapi tetap tak berubah.
Perkahwinan kami bertahan selama hampir 14 tahun,tapi selama hampir 14 tahun tu saya banyak buat kesalahan dan dosa sebab saya rasa dia sebagai suami tak pernah peduli dengan apa yang saya rasa dalam hubungan kami.saya pernah curang beberapa kali dibelakang suami,sampai tahap terlanjur.dan yang paling teruk diakhir usia perkahwinan kami saya betul2 nekad nak bercerai dengan dia sebab saya ada hubungan dengan lelaki lain yang selalu ambil berat pasal saya dan memahami saya.kami pernah berzina sebab suami saya selalu abaikan nafkah batin saya.
Bila da bercerai saya bernikah dengan lelaki yang selalu ambil berat tentang diri saya,tapi terdetik dalam hati saya rasa takut atas dosa2 yang saya da buat,saya tahu niat tak menghalalkan cara,tapi ego saya yang buat saya ambil keputusan begini,saya bahagia dengan suami yang sekarang tapi bila kenangkan dosa kami,dosa zina kami saya jadi takut,saya betul2 nak bertaubat.
Persoalan saya sekarang adakah taubat saya akan diterima? Saya banyak dengar ceramah2 agama tapi saya tak jumpa jawapan.saya berdosa sebab berzina belakang bekas suami saya,saya berdosa sebab minta cerai dengan bekas suami semata-mata nak hidup dengan lelaki yang buat saya rasa bahagia,tapi adakah dosa2 saya akan diampunkan?taubat saya akan diterima atau tidak?saya betul2 menyesal saya betul ingin bertaubat.
Saya terlampau jahil bab hukum hakam agama.ada yang saya dengar dalam ceramah2 yang cakap isteri yang berzina dengan lelaki lain tak akan diterima taubatnya walaupun dia da berkahwin lain dan jadi isteri yang solehah untuk suami barunya tetap taubat tidak akan diterima dan tidak akan dapat bau syurga,betul ke semua tu?
Saya cari ceramah2 agama dekat youtube,tapi saya tak jumpa jawapan,sampaikan saya rasa dosa2 saya tak layak dapat keampunan walaupun saya cuba bertaubat. Saya betul2 takut dan betul2 nak bertaubat,bantu saya bagi pencerahan supaya saya boleh yakin yang masih ada sinar untuk saya perbaiki diri,dan apa solusi yang boleh saya buat untuk memohon maaf kepada bekas suami saya.patut ke saya dan suami saya yang sekarang ni pergi berjumpa bekas suami saya itu untuk memohon ampun dan maaf sesama manusia,dan teruskan bertaubat dengan bersungguh-sungguh dengan Allah?
Bantu saya ustaz,
Terima kasih
.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
Daripada apa yang puan ceritakan, jelas bahawa puan sedang menyesali dosa-dosa yang telah dilakukan dan mempunyai keinginan yang bersungguh-sungguh untuk kembali kepada Allah SWT. Penyesalan seperti inilah yang menjadi permulaan kepada taubat yang sebenar. Islam tidak pernah menutup pintu taubat, walau sebesar mana sekalipun dosa seseorang. Dosa zina memang merupakan dosa besar, begitu juga pengkhianatan terhadap perkahwinan. Namun, betapa besarnya dosa tidak pernah mengatasi keluasan rahmat Allah SWT jika seseorang benar-benar bertaubat.
Allah SWT memberikan khabar yang lebih menggembirakan kepada orang yang bertaubat daripada dosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 70:
Maksudnya :Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itulah yang Allah gantikan kejahatan mereka dengan kebaikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ayat ini secara khusus datang selepas Allah menyebut dosa syirik, membunuh dan berzina. Ini menunjukkan bahawa sekalipun seseorang pernah melakukan zina, jika dia benar-benar bertaubat, beriman dan memperbanyakkan amal soleh, Allah SWT bukan sahaja mengampunkan dosanya, bahkan menggantikan keburukan tersebut dengan pahala menurut sebahagian besar ulama tafsir.
Oleh itu, dakwaan yang mengatakan bahawa wanita yang pernah berzina tidak akan diterima taubatnya walaupun telah bertaubat bersungguh-sungguh adalah tidak benar dan bercanggah dengan nas al-Quran.
Manakala persoalan puan berkaitan sama ada perlu pergi bersama suami sekarang untuk meminta maaf kepada bekas suami pula, pada asasnya, memohon maaf adalah suatu akhlak yang mulia. Namun dalam keadaan seperti ini, syarak juga mengambil kira maslahat dan mudarat. Sekiranya membuka semula kisah lama akan menyebabkan lebih banyak luka dan membina konflik, merosakkan rumah tangga bekas suami jika beliau telah berkahwin atau menimbulkan fitnah dan permusuhan yang lebih besar, maka tidak semestinya puan perlu menceritakan segala perkara yang pernah berlaku atau datang mengaku tentang dosa zina tersebut. Sebaliknya, puan boleh mendoakan kebaikan untuk bekas suami, memohon keampunan Allah atas segala kesalahan terhadapnya, jika masih terdapat hak-hak yang belum diselesaikan seperti harta, hutang atau sebagainya, hendaklah diselesaikan. Sekiranya puan masih berhubung secara baik dengan bekas suami, meminta maaf secara umum atas segala kesilapan sepanjang perkahwinan adalah memadai tanpa perlu mendedahkan dosa yang Allah telah tutupi. Nabi SAW menggalakkan agar seseorang tidak mendedahkan dosa atau aib yang telah Allah sembunyikan.
Sebagai nasihat bersama, jangan biarkan masa lalu menentukan seluruh kehidupan kita. Ramai sahabat Nabi SAW pada zaman jahiliah pernah melakukan kesalahan dan dosa-dosa besar, namun apabila mereka benar-benar bertaubat, mereka menjadi antara manusia yang paling mulia di sisi Allah. Puan telah ada kehidupan yang baru bersama suami yang memberikan puan rasa bahagia. Maka binalah rumah tangga baharu ini atas dasar taqwa, saling menjaga agama dan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk tidak kembali kepada maksiat.
Semoga Allah SWT menerima taubat puan, mengampunkan segala dosa yang lalu, meneguhkan hati puan di atas jalan kebaikan, serta mengurniakan kebahagiaan dan keberkatan dalam rumah tangga yang dibina sekarang.
Sekian, terima kasih