BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.



Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, baru-baru ni saya telah diajak untuk menyertai kumpulan niaga atomy. Namun setelah diselidik latar belakang perniagaan atomy ini, saya dapati ia mendirikan Yayasan "Dream Foundation" bagi menyalurkan dana kepada usaha-usaha penyebaran agama Kristian. Apakah hukum sekiranya saya menyertai kympulan ini? Apakah hukum duit yang dijana melalui perniagaan melalui kumpulan ini?


message user image

Jawapan  

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...

Merujuk kepada persoalan, asal suatu perkara adalah harus sebagaimana kaedah berbunyi;

الأصل في الأشياء الإباحة

Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus”

Hukum menjalankan perniagaan yang halal dan tidak bertentangan dengan hukum syarak adalah harus. Bagaimanapun apabila diketahui suatu perniagaan itu mempunyai hubungkait dengan penyaluran dana dalam usaha-usaha penyebaran agama Kristian, maka terdapat unsur shubhah di situ. Bersubahat atau bekerjasama dalam usaha penyebaran agama Kristian adalah dilarang. Firman Allah S.W.T ;

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya : “…dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…”

Bagi mengelakkan sebarang keraguan dan was-was adalah lebih baik sekiranya mengelakkan diri daripada terlibat dalam perniagaan ini.

والله اعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 950

Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz.. 

Saya ingin bertanyakan soalan mengenai atomy.. Seperti semua sedia maklum berkenaan maklum balas sebelumnya mengenai perniagaan atomy, yakni mengandungi unsur syubhah dan larangan Dalam membantu, bekerjasama dalam penyebaran agama lain seperti yang telah di tanya oleh seseotang sebelum ini.. 

http://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=2425

Persoalan yang ingin saya ajukan adalah:

1. Bagaimanakah dengan hasil pendapatan yang diperolehi dari atomy? Adakah ianya syubhah.? 

2. Sekiranya pendapatan tersebut syubhah, Bagaimanakah caranya untuk ahli atomy yang berdaftar ingin membersihkan harta, hasil pendapatan mereka tersebut.?

 

Sekian, 

Terima kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...

1. Menjawab kepada soalan pertama, tuan boleh rujuk : http://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=2425

2. Bagi persoalan kedua, sekiranya pendapatan hasil jual beli yang cukup syarat ianya adalah hasil pendapatan yang halal namun sebaliknya jika diyakini dengan jelas sumbernya haram atau syubhah dinasihatkan agar melakukan tindakan berikut :

  • Diagihkan untuk kemaslahatan muslimin seperti pembinaan jalan, jambatan, tandas, pembelian ventilator, bantuan kepada mangsa banjir atau bencana alam dan sebagainya.
  • Diserahkan kepada Baitulmal ( Di negeri Selangor boleh serahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor ) 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 243

Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalam,

Persoalan perniagaan atomy telah terjawab. Bagaimana pula dengan pengguna atomy. Adakah mereka juga perlu mengelakkan dari menggunakan produk atomy?

Produk atomy telah banyak memberi kesan positif kepada pengguna atomy dari sudut kesihatan.

Mohon penjelasan tuan mufti, terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berkaitan dengan penggunaan produk dari syarikat atomy atau mana-mana syarikat lain harus menggunakannya selagi mana ia diperbuat daripada bahan yang halal lagi baik. Jual belinya pula adalah sah jika mencukupi rukun dan syarat-syarat jual beli. 

Hadis yang diriwayatkan oleh Nu'man bin Basyir r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya". (Riwayat al- Bukhari)

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 375

Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum 

Saya diajak oleh rakan untuk menyertai MLM iaitu Mary Kay, Young Living,  sharklee, tupperware, atomy (syarikat luar negara) yang keuntungannya disalurkan untuk perttubuhan kristian di negara mereka. Sekiranya saya menggunakan produk tersebut dan mendapat hasil keuntungan. Apakah hukum saya mendapat komisyen hasil perniagaan tersebut.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Segala bentuk perniagaan adalah harus dijalankan sebagaimana kaedah fiqh menyebut: 

الأصل في الأشياء الإباحة

Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus”

Hukum menjalankan perniagaan yang halal dan tidak bertentangan dengan hukum syarak adalah harus. Bagaimanapun apabila diketahui tujuan suatu perniagaan itu adalah untuk menyebarkan agama Kristian atau kefahaman yang bertentangan dengan Syara', maka terdapat unsur shubhah di situ. Bersubahat atau bekerjasama dalam usaha penyebaran agama Kristian adalah dilarang. Bagi mengelakkan sebarang keraguan dan was-was adalah lebih baik sekiranya mengelakkan diri daripada terlibat dalam perniagaan ini.  Hadis yang diriwayatkan oleh Nu'man bin Basyir r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubhah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 284

Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum 

Saya mohon pencerahan jawapan dari pihak pejabat mufti. Berkaitan link ini.  

http://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=2425

Soalan saya:
1. Adakah jawapan tersebut hasil muzakarah pejabat Mufti Selangor dengan pihak atomy @ jawapan tersebut mengikut soalan yang diberikan?

2. Adakah jawapan tersebut pandangan @ fatwa daripada pejabat Mufti Selangor?

Saya percaya dengan amanah yang di pertanggungjawab ke atas pihak Mufti. Jika jawapan adalah hasil muzakarah & penilitian pihak pejabat Mufti dengan atomy

Maka wajib bagi saya berhenti dan menyeru dengan yakin kepada orang yang saya bawa masuk untuk tidak terlibat dengan atomy

Jawapan dari pihak pejabat Mufti Selangor ini nanti saya jadikan sebagai hujah. InshaAllah. Berani kerana Benar. Allahu Akhbar.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...

Merujuk kepada persoalan ;

1.  Setiap jawapan yang  diberikan adalah berdasarkan kepada persoalan yang diterima oleh pihak jabatan. Jawapan kepada soal jawab agama yang dikeluarkan oleh jabatan ini adalah pandangan hukum bagi  menjawab setiap persoalan yang dikemukakan kepada pihak kami.

2. Jawapan yang pihak jabatan berikan walaupun  bukan fatwa tetapi ia merupakan suatu pandangan hukum yang perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan harian sebagai seorang muslim. Perkara ini adalah kerana tidak semua isu atau persoalan perlu difatwakan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                     

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 281

Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum 

Di dalam kenyataan pentadbiran Amerika Syarikat, mereka ban jenama Huawei kerana applikasi mereka digunakan untuk menangkap golongan Islam Uyghur di China. Adakah menggunakan telefon Huawei, bekerja dengan Huawei juga subahat menindas golongan Islam Uyghur.

Intel Malaysia antara pembayar tercukai tertinggi negara Malaysia.  Mereka juga penyumbang utama ekonomi Israel , wwe.jewishvirtuallibrary.org/intel-and-istael...adakah menggunakan komputer yang mempunyai chip intel, applikasi Facebook dan komputer Dell membantu golongan zionis mengembangkan zionis dan menindas saudara Islam Palestine sebagaimana perniagaan atomy yang berlandaskan Kritianiasi. Diketahui Zionis membunuh berjuta-juta umat Islam di Palestine, mengembangkan zionisme di mana-mana. Adakah mereka yang bekerja di Intel, Dell, Facebook, microsoft dan sebagainya, menggunakan komputer, telefon applikasi ini bersubahat memyumbang untuk agama lain . 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk persoalan puan, jika dasar sesuatu syarikat walau apa nama sekali pun agendanya untuk penyebaran agama atau fahaman yang bertentangan dengan Islam, atau menzalimi umat Islam maka hendaklah dielakkan daripada terlibat dengan syarikat tersebut.

Walaubagaimanapun, jika dasar penubuhan sesuatu syarikat tersebut hanya untuk perniagaan dan pengeluaran produk untuk memenuhi keperluan semasa namun dalam masa yang sama pemiliknya menyumbang kepada badan-badan kebajikan bukan Islam sebagai program CSR syarikat maka tiada larangan untuk bermuamalah dengan syarikat berkenaan. 

Sehubungan itu, umat Islam dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam memilih sebarang pekerjaan supaya rezeki yang diterima diberkati dan diredhai Allah SWT. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 261

Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan, saya ada terbaca komen tuan mengenai syarikat atomy.jadi timbul tanda tanya pada diri saya.majoriti perniagaan2 di malaysia,rata2 pemiliknya dari kaum yg bukan berugama islam.contoh kedai2 runcit..supermarket ternama..farmasi..kedai baik pulih kenderaan..

Jadi, pemilik2 perniagaan ni rata2 dari kaum cina atau india.setiap keuntungan pasti mereka hadiah atau sumbang dkt gereja2 atau kuil2 setiap ugama yg mereka anuti.

Jadi macam mana nak klasifikasikan status kalau kita pergi membeli product2 yg mereka niagakan?

Mungkin tuan memberi penjelasan khas utk atomy korea.tetapi ahli2 atomy malaysia disarankan membayar zakat serta bersedekah.sebab tu komuniti atomy malaysia berkembang sehingga ahli lebih kurang 70ribu.jadi tarikan kerana setiap komisen yg dapat,atomy malaysia sarankan utk zakat dan bersedekah.

Mohon penjelasan..dari hamba ALLAH swt yg lemah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berkaitan dengan status pembelian produk dari Bukan Islam adalah harus dan sah jual beli selagi mana produk yang dijual adalah halal dan sempurna akad pembelian. Sesebuah syarikat atau perniagaan yang bermatlamatkan keuntungan semata-mata adalah harus untuk bermuamalat. Bahkan Nabi Muhammad SAW pernah berurusniaga dengan seorang yahudi sebagaimana riwayat yang bermaksud:

“Rasulullah SAW membeli makanan dari orang yahudi dengan pembayaran tertangguh dan menjaminkan dengan menggadaikan baju besi baginda (Riwayat al-Bukhari)

Berbeza dengan sesuatu perniagaan yang yang secara jelas penubuhannya adalah untuk agenda kristianisasi atau penyebaran aqidah yang bertentangan dengan Islam, maka ia perlu dielakkan sama sekali. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 2:

 وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ 

Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)” 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 262

Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan mufti. Baru baru ini hangat diperkatakan tentang berniaga dengan syarikat atomy iaitu syarikat dari korea yang menjalankan perniagaan jualan atas talian. Salah satu produknya adalah HemoHIM iaitu produk kesihatan berasaskan herba yang telah dibagunkan oleh penyelidik korea untuk membantu mereka yg terdedah kepada sinar radiasi. Disebabkan keberkesanan yang terbukti dari hasil penyelidikan selama 8 tahun, pengasas syarikat atomy berhasrat untuk mengeluarkannya secara besar besaran dan menjualnya secara langsung kepada orang ramai melalui sistem online untuk mengelak keuntungan orang tengah. Saya sebagai seorang doktor, mendapati produk hemoHIM yg berstatus halal ini dapat membantu pesakit pesakit saya berbanding dengan produk herba lain yang ada di pasaran. Produk hemoHIM juga telah dibuktikan keberkesanannya melalui kajian yang dilakukan di makmal dan kajian tersebut boleh diakses secara terus di dalam platform jurnal online terkemuka dunia perubatan. Untuk mendapat produk tersebut, kita perlu jadi ahli sykt atomy dan membelinya secara online. Tiada bayaran yang dikenakan untuk berdaftar menjadi ahli atomy.

Soalan saya, apakah hukumnya menjadi ahli atomy dan menjadikkannya sebagai salah satu perniagaan rangkaian.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Jika sesuatu produk terdiri daripada bahan yang halal maka harus menggunakannya, namun jika ia berkaitan dengan ubat maka perlu dapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 243

Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam ,saya baru pertama kali beli ubat gigi dan vit c dari atomy,nak tanya boleh ke saya terus menggunakannya? Sekiranya  kotak tersebut ada tanda halal


message user image

Jawapan  

وعليکم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Sekiranya ubat gigi dan vitamin c tersebut diyakini bersumberkan bahan-bahan yang halal malah mempunyai sijil pengesahan halal daripada pihak yang berautoriti maka harus menggunakannya.

Sekian, terima kasih

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 239