BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Subjek: Permohonan Pandangan Hukum Berkaitan Model Funded Trader (Topstep/Apex)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Saya ingin memohon pandangan dan penjelasan hukum daripada pihak tuan/puan berkenaan satu model perniagaan yang dikenali sebagai “funded trader program” yang ditawarkan oleh syarikat luar negara seperti Topstep dan Apex.

Struktur program ini secara ringkas adalah seperti berikut:

1. Peserta perlu membayar yuran penyertaan (evaluation fee).


2. Peserta akan menjalani tempoh penilaian berdagang kontrak niaga hadapan seperti crude oil, menggunakan akaun simulasi (paper trading), bukan akaun sebenar.


3. Jika peserta mencapai sasaran keuntungan tertentu tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan, mereka dianggap lulus.


4. Selepas lulus, peserta diberikan akaun “funded" (yang masih simulasi, bukan duit betul) dan akan menerima perkongsian keuntungan (profit split) daripada prestasi dagangan mereka. Sumber bayaran profit pula diragui hasil daripada kutipan yuran ataupun keuntungan sebenar dagangan.

5. Sekiranya gagal mencapai syarat atau melanggar peraturan, yuran yang dibayar tidak dipulangkan dan peserta perlu membayar semula untuk mencuba sekali lagi.

Persoalan yang ingin saya mohon penjelasan adalah:

1. Adakah pembayaran yuran untuk menyertai penilaian tersebut dianggap sebagai bayaran perkhidmatan yang sah dari sudut syarak, atau ia termasuk dalam unsur maisir (judi) kerana yuran hangus sekiranya gagal?

2. Adakah wujud unsur gharar kerana ketidakpastian sumber bayaran keuntungan?

3. Adakah model seperti ini boleh dianggap harus, atau ia lebih hampir kepada bentuk pertaruhan yang dilarang?

Saya memohon pandangan pihak tuan/puan untuk memastikan saya tidak terlibat dalam urus niaga yang meragukan atau bertentangan dengan hukum syarak.

Sekian, terima kasih atas perhatian dan penjelasan yang bakal diberikan.

Wassalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Berdasarkan struktur di atas, model Funded Trader Program dalam situasi menggunakan akaun simulasi sepenuhnya tanpa copy-trading ke akaun sebenar sebaiknya dielakkan atas faktor-faktor berikut:

  1. Unsur Maisir (Judi) bilamana yuran yang dibayar hangus tanpa mendapat manfaat perkhidmatan yang setara, pembayaran hanya semata-mata sebagai peluang untuk mencuba nasib dalam ujian.

  2. Unsur Gharar (Ketidakpastian) ataupun ketidakjelasan sumber keuntungan dan ketiadaan aset sebenar dalam dagangan simulasi.

  3. Elemen Pertaruhan: Model ini lebih kepada "bertaruh atas prestasi sendiri" (betting on performance) di mana syarikat bertindak sebagai pihak penyedia yang dibimbangi membayar pemenang menggunakan wang peserta yang kalah.

Umat Islam dinasihatkan untuk menjauhi model seperti ini dan mencari alternatif pelaburan atau perdagangan yang melibatkan platform yang disahkan patuh syarak oleh Suruhanjya Sekuriti dan diiktiraf Bank Negara.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.              


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 147

message user image