BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.



Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Apakah hukum seorang pengamal perubatan memberikan ubat pencegah jangkitan HIV (pre-exposure prophylaxis/PREP) kepada individu yang mengamalkan homoseksual dalam keadaan pengamal perubatan menyedari bahawa kajian menunjukkan tingkah laku homoseksual tetap tinggi malah makin meningkat dengan penggunaan PREP

PREP berkesan untuk mencegah HIV tetapi tidak boleh mencegah jangkitan seksual lain seperti syphilis dan sebagainya.


message user image

Jawapan  

وعليكم ورحمة الله وبركاته السلام

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Profilaksis Pra-Pendedahan atau Pre-Exposure Prophylaxis (PREP) adalah sejenis ubat pencegahan HIV yang diambil oleh seseorang yang tidak mengidap HIV bagi mengelakkan diri dari dijangkiti HIV. Secara umum, pengambilan atau pemberian PREP adalah diharuskan kepada pasangan suami isteri yang mana salah seorang daripada mereka telah dijangkiti oleh HIV apabila mereka melakukan hubungan suami isteri. Adapun pemberian kepada mereka yang diketahui mengamalkan cara hidup homoseksual adalah dilarang kerana ia dianggap sebagai bersubahat di dalam perkara dosa dan kemaksiatan.  

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 2350

Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam Ustaz/ Ustazah

Saya mohon pencerahan. Saya bertugas di salah sebuah klinik kesihatan di ibu kota. Klinik saya mengamalkan pemberian PREP kepada golongan homosexual sebagai langkah pencegahan HIV. Saya telah ditugaskan untuk menjaga para pesakit dan klinik tersebut atas arahan pihak atasan ( KKM).

Apakah hukum saya sebagai seorang doktor muslim yang berkerja dengan KKM memberikan PREP kepada golongan homosexual semata mata mengikut arahan pihak atasan. Dalam hati saya mengetahui ini adalah salah.

Mohon pencerahan ustaz. Bantulah saya.

Sekian.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Islam melarang perbuatan homoseksual kerana kesannya besar yang boleh memudaratkan kehidupan seseorang dan merosakkan institusi kekeluargaan kerana bukan sahaja ia membawa kepada penyebaran jangkitan HIV, amalan tersebut mengundang kepada kemurkaan Allah SWT. Bahkan, bukan sahaja perbuatan tersebut melanggar hukum syarak, ia juga menyalahi undang-undang yang berkuatkuasa di negara Malaysia. Individu Muslim hendaklah menjauhi dan berusaha untuk mencegah perbuatan tersebut daripada terus berleluasa. Secara asasnya, Profilaksis Pra-Pendedahan atau Pre-Exposure Prophylaxis (PREP) adalah sejenis ubat pencegahan HIV yang diambil oleh seseorang yang tidak mengidap HIV bagi mengelakkan diri dari dijangkiti HIV. Namun begitu, ia tidak boleh diberikan sewenangnya tanpa sebab yang sepatutnya seperti memberi kepada isteri yang mana suaminya telah disahkan dijangkiti HIV atau sebaliknya. 

Berbalik kepada soalan puan, sebagai doktor yang dipertanggungjawabkan menjaga dan merawat pesakit seperti yang dikehendaki oleh pihak atasan berkenaan pemberian PREP kepada golongan homoseksual adalah tidak benarkan. Namun seandainya dengan tidak melakukan perkara tersebut akan menyebakan hilangnya pekerjaan atau mudarat lain yang lebih besar, maka lakukanlah ia dengan rasa tidak redha dan dengan niat untuk mencegah jangkitan HIV daripada terus merebak. Hal ini kerana puan memberi ubat tersebut atas kapasiti sebagai pekerja yang patuh pada arahan pihak atasan bukan kerana puan hendak membantu golongan homoseksual.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 155

Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya anak ke-4 daripada 7 adik beradik. Ibu saya berniaga goreng untuk menyara anak2 yang masih di rumah iaitu yang berumur 16 & 17 tahun. Bapa hanya tolong angkat dan setup barang2 berniaga, kemudian pulang ke rumah untuk tidur atau sambung main no ekor. Bapa seorang yang tidak solat sepanjang hidup. Setiap jumaat akan berada di rumah meninggalkan ibu berniaga sorang2. Dulu bapa yang memulakan perniagaan setelah berhenti kerja. Namun makin lama ibu yang harus mengambil alih kerana bapa hanya fokus kepada judi. Katanya "takde hasil berniaga, dapat sepinggan nasi je".  "Kalau ada rezeki(hasil judi), aku nak balik kampung aku duduk sana lagi bagus", "mama tak pandai urus duit", "mama ni nak berniaga menyusahkan orang, barang2 tak PREPare awal2, balik kerja tidur je". Kebenaran yang anak2 selalu nampak adalah, hasil perniagaan memang tak banyak, hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tapi kami bersyukur dapat makan nasi walaupun sekali sehari. Ibu setelah balik berniaga terus menyediakan barang2 untuk berniaga esok hari sehinggalah hampir 12 malam. Bapa pula setelah mengangkut barang2 berniaga ke dalam rumah, dia meneruskan "sambung belajar" judinya dan scroll video2 tiktok yang tidak semegah sehinggalah jam 1 atau 2 pagi, kemudian baru tidur. Anak2 hanya mampu menolong uruskan rumah ketika ibu berniaga. Yang mengecewakan anak2 adalah bapa tidak nampak/menghargai perngorbanan isterinya. Isterinya yang harus bangus 5 pagi menyambung penyediaan barang2 berniaga, kemudian masak makanan untuknya, gosok baju,  balik berniaga pun begitu juga rutinnya setiap hari. Layanan bapa terhadap anak lagilah. Satu-satunya anak lelakinya tidak diendahkan. Temu janji psychiatrist anak lelakinya juga dia malas menghantar, lebih mengutamakan berjam2 lepak di tempat judinya. Katanya anak lelakinya nampak perubahan baik, jadi tak perlu datang dah. Kesannya terbiar begitu sahaja anak lelakinya terkapai2 dalam dunianya yang menutup semua orang. Salah satu anak perempuannya pula dibenci kerana kononnya menuduh bekas bini ke-2 nya menghantar "barang" kepadanya yang akhirnya "barang" tersebut terkena pada anak perempuannya itu. Dia tidak mahu percaya yang bekasnnya berniat buruk terhadapnya sehinggakan ketika anak perempuannya itu mengalami gangguan spiritual,  dia mengatakan anaknya sudah gila,  terlalu bersosial dengan lelaki. Walhal anak2nya yang lain serta isterinya sendiri sudah melihat dan mendengar sendiri kebenaran ketika pergi berubat. Perbandingan terhadap adik beradik tidak perlu dibualkan lagi kerana itu adalah rutin harian kami mendengar tengkingannya setiap pagi jika ada masalah timbul. Walaupun ibu akan menjalani pembedahan dalam masa 1 minggu lagi, tiada sokongan yang diberikan olehnya. Malah dia mengatakan ibu menyusahkan dia kerana harus menggantikannya berniaga hanya kerana ibu harus temu janji di hospital. Begitulah setiap kali ibu harus pergi temu janji, dia akan merungut ibu menyusahkan dia. Dalam hubungan keluarga ini, saya nampak ibu hanya menurut segala apa yang bapa cakap dengan alasan dia reda dengan perangai suaminya itu. Tetapi, anak2nya ramai yang terkena tempias atas tingkah laku bapa mereka sendiri selama bertahun-tahun. Soalan saya : salahkah, berdosakah kami sebagai anak kerana selalu meluahkan sesama sendiri tentang perangai bapa dan sentiasa mengharapkan ibu bapa akan bercerai dan kami hidup jauh dari bapa walaupun ianya takkan berlaku selagi ibu masih hidup kerana bapa takkan nampak pengorbanan isterinya hinggalah dia berseorangan? Minta maaf atas masalah yang sulit ini. Harap dapat jawapan. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Kami bersimpati atas perkara yang dihadapi oleh puan sekeluarga, namun begitu Islam sangat menekankan penghormatan dan ihsan kepada kedua-dua ibu bapa, walaupun mereka mungkin mempunyai kelemahan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra' ayat 23:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya sahaja, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai ke usia tua, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi berkatalah dengan mereka menggunakan perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Disamping itu, menjadi tanggungjawab bagi anak-anak agar berusaha menegur kesalahan yang dilakukan oleh bapa tanpa menderhakainya. Ini bertepatan dengan saranan-saranan daripada al-Qur’an dan hadith Nabi SAW mengenai kewajipan menegur kemungkaran yang berlaku mengikut kemampuan dan kaedah yang betul.

Tiada masalah bagi si anak meluahkan sesama sendiri bagi mencari penyelesaian dan mengetahui kebenaran yang berlaku. Adapun berkenaan mendoakan ibu bapa bercerai adalah tidak dianjurkan. Hal ini kerana, penceraian adalah sesuatu yang tidak digalakkan dalam Islam kecuali jika benar-benar tiada jalan lain untuk menyelesaikan masalah. Namun begitu, menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (2003), Bahagian V, Pembubaran Perkahwinan menyatakan:

Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh 53.

(1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu—

(a)     bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b)     bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan; 

(c)     bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d)     bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e)     bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;

(f)     bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g)     bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbirnya sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h)     bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain—(i)     lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; (ii)     berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; (iv)     melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; (v)     menghalang isteri atau suami dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; (vi)     jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;

(i)     bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;

(j)     bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;

(k)     bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguh pun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31/52] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau

(l)     apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak. 

Justeru seseorang isteri boleh memohon fasakh, seandainya suami mengabaikan hak-hak perkahwinan sebagaimana yang dijelaskan dalam enakmen yang telah dinyatakan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 9