BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.



Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Yang Dihormati Ustaz, semoga didalam kasih sayangNya sentiasa.Saya ingin bertanya satu soalan : 1-Apakah hukumnya menggantung gambar keluarga / gambar kahwin/ gambar konvokesyen/ gambar anak anak dan cucu? 2-Saya difaham kan haram dan rumah tidak dimasukki malaikat rahmat. Semoga Yang Dihormati Ustaz dapat meluangkan masa untuk menjawab soalan saya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan; 1. Hukumnya adalah harus. Tetapi jika niatnya untuk pemujaan, mendedahkan aurat, mengagungkan gambar tersebut, hukumnya menjadi haram. Ia bersesuaian dengan pendapat Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam buku Seni Dalam Islam: “Hukum gambar-gambar fotografik pada asalnya harus selagimana gambar tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti mengagungkan gambar seseorang yang mempunyai kemuliaan dalam agama ataupun disebabkan kedudukan dan pangkat yang dimilikinya, apatah lagi sekiranya orang yang diagung-agungkan terdiri daripada orang kafir, fasiq dan penyembah berhala”. 2. Nabi SAW melarang umatnya meletakkan gambar bernyawa di dalam rumah, kerana malaikat rahmat tidak masuk ke dalam rumah untuk memberikan rahmat. Berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya; Maksudnya : “Dia membeli bantal-bantal kecil yang bergambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata Aisyah ”Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan RasulNya. Apakah kesalahanku? Rasulullah SAW kembali bertanya: “Bantal-bantal apakah itu? : Jawab Aisyah, “Aku membelinya untuk kamu sebagai tempat duduk atau tempat bersandar.” Sabda Rasulullah SAW : “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka. Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!”. Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.” (Riwayat Muslim) Haram bagi orang yang meletakkan gambar lukisan atau patung yang bernyawa di rumah-rumah mereka, sama ada separuh atau sempurna fizikalnya. Hal ini berbeza dengan gambar-gambar fotografik yang dihasilkan oleh kamera dan video. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 420

Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammua’laikum ustaz/mufti, saya ingin tanya, apakah hukum saya menjual kasut tetapi company tersebut promosikan iklan wanita yang tidak menutup aurat termasuk bahagian kaki, apakah pendapatan saya itu kira masih halal? 

 

Kerana saya hanya menjual dan menjaga di  bahagian kedai kasut itu sahaja, tatkala di kedai saya itu ada gantung gambar wanita tidak menutup aurat dan kdg saya bersihkan juga gambar wanita tidak menurup aurat digantung itu kerana amanah tugasan saya sebagai seorang pekerja..dan juga company ada promosi wanita yg tidak menutup aurat di dalam website itu..

 

tetapi tugasan saya hanya menjual/menjaga kasut dan membantu pelanggan di dalam kedai, apakah gaji saya halal? Kerana saya bekerja bawah company itu..mohon penjelasan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, sebahagian besar ulama berpandangan bahawa status pendapatan yang diterima hasil daripada bekerja dengan syarikat  yang terlibat dengan model wanita yang tidak menutup aurat secara langsung dalam penghasilan, pengedaran atau mempromosi kandungan yang mengandungi elemen yang haram seperti tujuannya memang untuk memaparkan wanita yang tidak menutup aurat, pendapatan yang diperoleh dianggap sebagai haram. Ini kerana pendapatan tersebut datang dari usaha yang berkaitan dengan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam. 

Jika keterlibatan adalah secara tidak langsung, maka pendapatan tersebut mungkin berada dalam kategori syubhah, dan individu tersebut dianjurkan untuk berhati-hati dan berusaha mencari pekerjaan yang lebih sesuai dengan syariat. Dalam semua keadaan, adalah penting untuk mencari rezeki yang halal, dan sekiranya terlibat dengan sumber pendapatan yang haram, disarankan untuk bertaubat dan mencari alternatif yang lebih baik.

Justeru, jika puan merupakan seorang pekerja bagi sesebuah syarikat yang menjual barangan yang diharuskan tetapi pada masa yang sama menggunakan kaedah pengiklanan yang tidak patuh syariah, maka hasil yang didapati dari pekerjaan tersebut tidaklah menjadi haram, selagimana pekerjaan yang puan lakukan tidak terlibat dengan sesuatu yang bertentangan dengan syariat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 79

Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum mufti, soalan saya berkaitan dengan gambar dan patung binatang dan manusia.

Adakah haram letak patung bentuk binatang, contoh lembu atau burung, sebagai hiasan di rumah ? 

Adakah haram gantung gambar yang mempamerkan binatang atau manusia di rumah ?

Adakah haram melukis binatang atau manusia ? Saya pernah tengok video youtube yang menerangkan bahawa hanya Allah yang layak mencipta dan membentuk segala mahluk, jadi melukis binatang atau manusia adalah haram.

Terima kasih mufti memberi penerangan kepada soalan2 saya. Jazakallahu khoir.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

1)  Hukumnya adalah haram. Berdasarkan hadis Nabi SAW: 

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Selain itu, Imam al-Nawawi juga berkata:

قَالَ الْعُلَمَاءُ سَبَبُ امْتِنَاعِهِمْ مِنْ بَيْتٍ فِيهِ صُورَةٌ كَوْنُهَا مَعْصِيَةً فَاحِشَةً وَفِيهَا مُضَاهَاةٌ لِخَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَبَعْضُهَا فِي صُورَةِ مَا يُعْبَدُ مِنْ دُونِ اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Menurut para ulama’, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar patung. Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar patung itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT. Manakala sebahagian daripada gambar-gambar tersebut dijadikan sembahan.

2) Hukum menggantung gambar yang bernyawa seperti haiwan atau manusia terbahagi kepada dua:

  • Haram: sekiranya gambar yang bernyawa seperti haiwan atau manusia itu sempurna anggota tubuh. 
  • Harus: sekiranya gambar tersebut tidak sempurna iaitu hanya menampilkan sebahagian anggota sahaja iaitu jika dengan ketiadaan sebahagian anggota seperti kepala tersebut maka tiada bernyawa manusia dan haiwan itu.

Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: 

اسْتَأْذَنَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ادْخُلْ فَقَالَ كَيْفَ أَدْخُلُ وَفِي بَيْتِكَ سِتْرٌ فِيهِ تَصَاوِيرُ فَإِمَّا أَنْ تُقْطَعَ رُءُوسُهَا أَوْ تُجْعَلَ بِسَاطًا يُوطَأُ

Maksudnya: Jibril AS meminta izin kepada Nabi SAW untuk masuk ke rumah Baginda. Nabi SAW menyebut: Masuklah. Kata Jibril: Bagaimana aku nak masuk sedangkan di dalam rumah engkau ada langsir yang ada lukisan padanya. Sama ada engkau potong kepala (lukisan tersebut) atau dijadikan alas yang dipijak-pijak. (Riwayat al-Nasa'i) 

3) Hukum melukis gambar terdapat dua perkara iaitu sama ada yang bernyawa atau tidak bernyawa. 

  1. Gambar yang bernyawa terdapat dua pendapat:  
  •  Haram melukis gambar yang mempunyai roh seperti manusia dan haiwan sama seperti mengukir dan sebagainya terhadap sesuatu objek yang mempunyai roh. Namun begitu, larangan ini tidak berlaku sekiranya lukisan gambar tersebut tidak sempurna iaitu hanya menampilkan sebahagian anggota sahaja iaitu jika dengan ketiadaan sebahagian anggota seperti kepala tersebut maka tiada bernyawa manusia dan haiwan itu.
  • Harus: Sebahagian para ulama kontemporari berpendapat harus melukis gambar kerana illah pengharaman gambar yang terdapat pada zaman Rasulullah SAW adalah kerana menyaingi ciptaan Allah SWT dan menyembah selain daripada Allah SWT tidak terdapat pada lukisan gambar. 

        2. Gambar yang tidak bernyawa: 

  • Majoriti ulama menyatakan harus menggambar sesuatu yang tidak terdapat roh di dalamnya iaitu selain haiwan dan manusia seperti pokok, gunung, sungai, laut dan lainnya kerana pengharaman berdasarkan riwayat-riwayat hadis yang disebut padanya terhad kepada menggambarkan sesuatu yang terdapat roh di dalamnya. 

Kesimpulannya, sekiranya melukis gambar yang bernyawa seperti binatang dan manusia secara sempurna anggota badan adalah haram walaupun terdapat sebahagian ulama kontemporari yang mengharuskannya kerana sadd al-zari’ah supaya dapat menutup dan mencegah unsur-unsur penyembahan berhala,  memerangi syirik, dan memastikan manusia hanya mengagungkan Allah semata-mata. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26