Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalamualaikum saya ingin bertanya tentang Kaffarah...pada waktu malam bulan ramadhan saya bersetubuh , saya terlena sampai pagi dan saya fikir puasa saya tidak sah sebab tidak mandi wajib , selepas itu saya bersetubuh lagi , adakah Kaffarah wajib ke atas saya sebab sekarang baru saya tahu puasa saya sah walaupun tidak mandi wajib sebelum itu saya tidak tahu ...saya hanya ingat puasa saya tidak sah sebab itu saya lakukan lagi setubuh di siang ramadhan.
Jawapan
Apabila seseorang muslim merosakkan puasa pada siang hari di bulan Ramadhan dengan melakukan jimak dalam keadaan uzur seperti i. Lupa bahawa dia berpuasa ii. Jahil pengharamannya iii. Sengaja berbuka dengan makan dan minum kemudian berjimak iv. Dalam keadaan musafir atau sakit yang ia berhak mendapat rukhsah untuk berbuka kemudian bersetubuh v. Menyangka bahawa waktu malam masih panjang kemudian bersetubuh dan setelah itu didapati bahawa waktu fajar telah terbit vi. Makan dengan sengaja kerana menyangka telah masuk waktu berbuka kemudian bersetubuh Maka semua keadaan ini diwajibkan untuk mengqada’kan sahaja sebagaimana keadaan orang yang sakit dan musafir iaitu tanpa kaffarah, tetapi berdosa. Dosanya itu tidak dapat ditebus. Jika seseorang mengambil ringan dengan membatalkan puasanya dahulu sebelum berjimak maka sesungguhnya dia dalam keadaan rugi kerana puasa yang ditinggalkannya tidak dapat diganti walaupun dengan puasa selama setahun penuh. Hal ini berdasarkan hadis rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu hurairah مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ وَلَا مَرَضٍ لَمْ يَقْضِهِ صِيَامُ الدَّهْرِ وَإِنْ صَامَهُ Maksudnya: Barangsiapa yang tidak puasa sehari dalam bulan Ramadhan tanpa adanya uzur dan tidak sakit, maka tidak dapat diganti dengan puasa selama setahun penuh, sekalipun dia berpuasa setahun penuh. (Riwayat Al-Bukhari) والله أعلم بالصواب