Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalam ustaz..saya ada menjaga seorang anak yatim.. Soalan saya apakah hukum nya jika saya isteri dan anak2 ikut tumpang makan..makanan yang di terima hasil sumbangan kpd anak yatim itu..sumbangan itu seperti beras,gula,minyak dan makan ringan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, menjaga anak yatim sangat dituntut dalam Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud : Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", (al-Baqarah : 220) Daripada ayat ini, menjaga dan menguruskan anak yatim dengan sebaiknya adalah satu cabang daripada cabang-cabang kebaikan. Namun, terdapat juga ancaman yang berat buat mereka yang menganiaya dan cuai dalam mengurus anak yatim seperti mengambil harta anak yatim secara batil. Firman Allah SWT yang bemaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (an-Nisa’ : 10) Syeikh al-Tantawi Ramahullah dalam tafsirnya mengatakan bahawa, memakan harta anak yatim secara zalim itu sama ada melalui pewarisan ataupun orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya lalu memakannya secara batil. Maksud dari nas larangan tersebut bahawa, agar harta anak yatim diurus dengan baik oleh orang yang bertanggungjawab dan dibolehkan mengambil sedikit dari harta tersebut bagi tujuan yang makruf. Firman Allah SWT yang bermaksud : “dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).” (an-Nisa’ : 6) Allah SWT menerangkan kepada kita bahawa, adalah dibolehkan menggunakan harta anak yatim tanpa melampau. Tetapi amat disarankan agar menahan diri dari menggunakan harta tersebut bagi mereka yang kaya dan berkemampuan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.