Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Dato' Tuan Mufti. Saya telah trade in gelang emas lama dengan membeli gelang emas baru yang lebih berat dari gelang lama. Saya terlupa bahawa kaedah tersebut berunsur riba'. Bagaimana cara sy nak bersihkan harta saya dari unsur riba' tersebut? Atau saya perlu nilaikan jumlah riba' dan salurkan untuk kegunaan membina prasarana sekolah dsb. Mohon respons Dato' berkenaan permasalahan ini. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, trade in emas ini perlu diperhatikan perincian yang mendalam bagi mengelakkan urusniaga bercampur dengan riba’. Pemberat bagi urusniaga ini perlu diperincikan dua perkara, iaitu: i) Mutamathilan - mesti sama berat timbangannya. Manakala standard emas tersebut (‘Iyar) 20 atau 21 atau 24 tidak memberikan sebarang kesan. Ia adalah berdasarkan hadith yang menyebut tentang tamar Khaibar (yang kurang elok atau buruk) yang ditukar dengan tamar Janib (yang elok) yang mana ianya mesti menuruti syarat sama berat walaupun berbeza kualiti. ii) Mesti 'Taqabud fil hal aw fil majlis' (diserah dan terima dalam satu masa) - kerana ia adalah tertakluk kepada hukum sarf (tukaran matawang dengan matawang), maka tidak dibenarkan untuk menangguh masa serahan. Justeru, mestilah kita menyerahkan emas lama, dan kemudian penjual menyerahkan emas baru yang sama berat pada ketika itu juga. Jika tidak, Riba’ Nasiah akan berlaku. Rasulullah SAW yang bermaksud: "Juallah dengan sempurna , ambillah harganya dan kemudian belilah semula dengan duit kamu tadi" Cara untuk mengelakkan terjadinya riba’ di sini adalah dengan melakukan dua urusniaga. Pertama, jual dahulu emas lama. Selesaikan dahulu urusan jual beli emas lama tersebut. Kemudian barulah melakukan jual beli untuk emas baru. Adapun persolan tuan berkaitan pembersihan harta syubhah atau riba, berlandaskan kepada: Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Sejajar dengan itu, satu ketetapan berkenaan penyaluran wang tidak patuh syariah atau wang haram ini juga telah dibuat melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan: 1. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal. 2. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.