Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya nak bertanya tentang kemusykilan yang saya alami. Si isteri ni datang dari keturunan baik tetapi suaminya pula ada ayah seorang kaki mabuk dan penzina. Ayahnya selalu balik rumah dalam keadaan mabuk termasuklah bulan Ramadhan dan selalu maki hamun ibu suami. Saya nak tanya, apakah hukum kalau isteri suruh pilih sama ada pilih dirinya atau bapa suami tersebut. Adakah berdosa perbuatan itu walaupun niat isteri tu untuk menutup aib suaminya sebab keluarga si isteri tu mungkin tak dapat terima kalau mereka tahu biras mereka seorang peminum alkohol.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hukumnya adalah haram dan berdosa seorang isteri menyuruh (menghasut) suaminya yang berkeadaan baik, supaya membuat pilihan antara dirinya dengan bapa suaminya, yang gemar melakukan maksiat. Perbuatan ini dikira memutuskan silaturrahim yang dicela dalam Islam. Niatnya untuk menutup aib, adalah tidak betul kerana, sepatutnya berusaha untuk membetulkannya dengan cara yang berhikmah. Tambahan pula, firman Allah SWT : ولَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ Maksudnya : “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)” (al-An’am : 164) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.