BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Asalamualaikum, Saya sedia maklum melalui pembacaan di internet mengenai status insurans dan penglibatan secara terus adalah hukumnya haram. Saya bekerja sebagai seorang pelatih di salah sebuah syarikat insurans di Malaysia. Apakah hukumnya jika saya melatih modul pembelajaran yang berkaitan insurans (bukan takaful) dan dalam masa yang sama memberi semangat serta sales idea kepada agen-agen yang sememangnya mereka menjual produk insurans. Berdosakah saya? Bagaimana pula dengan gaji yang saya terima? Mohon pertolongan serta pencerahan daripada ustaz.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, mengikut Hukum Syarak, umat Islam tidak boleh sama sekali terlibat secara langsung dalam mempromosi atau melatih orang lain untuk mengamalkan produk yang diharamkan di dalam Islam termasuk insurans yang tidak Islamik. Melatih orang lain adalah dikira bersubahat dalam menggalakkan perkara haram tersebut terus diamalkan dalam kalangan masyarakat. Firman Allah SWT : وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ Maksudnya : “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (al-Maidah : 2) Tuan bertanggungjawab untuk berusaha mencari dan bertukar ke bahagian lain yang tidak terlibat secara langsung dengan insurans. Dengan kemahiran dan pengalaman yang ada, tuan amat digalakkan untuk melatih agen-agen takaful dan membuat perbandingan kebaikan takaful berbanding insurans. Tindakan tersebut adalah lebih baik, disamping mendapat harta yang halal dan bebas dari syubhah, ia juga akan menjadi saham amalan tuan dalam menyebarkan mu’amalah mengikut Hukum Syarak. Hadith yang diriwayatkan daripada Jariri bin Abdullah RA : مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا ، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ . وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا ، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ Maksudnya ; “Barang siapa yang mengajarkan (mengamalkan) contoh yang baik di dalam Islam dan contoh tersebut diamalkan pula oleh orang lain selepasnya, maka diberikan ganjaran kepadanya sebanyak pahala orang yang mengamalkannya itu tanpa dikurangkan walaupun sedikit. Dan barang siapa yang mengajarkan (mengamalkan) contoh yang buruk di dalam Islam seterusnya contoh itu diamalkan pula oleh orang lain, maka diberikan ke atasnya dosa sebanyak dosa orang yang mengamalkan perkara tersebut dan tanpa dikurangkan walaupun sedikit”. (Riwayat Muslim) Justeru, gaji tersebut adalah syubhah. Sumber pendapatan dan kemana ianya dibelanjakan akan disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak. Oleh itu, kita hendaklah memastikan ianya dari sumber yang benar-benar halal tanpa syak dan curiga, dan dibelanjakan ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Semoga tuan diberi kekuatan dan jalan keluar oleh Allah SWT dari masalah yang dihadapi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 173

message user image